Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sekitar 1960-an, individu yang berta­nggungjawab membawa pembaharuan dalam bidang kecantikan Shu Uemura, memecah tradisi konvensional solekan apabila memperkenalkan konsep terbaru yang berbeza daripada kebiasaan.

Beliau memperkenalkan revolusi konsep unik yang menggabung­kan semangat wanita dan kuasa kosmetik untuk me­nyerlahkan ekspresi peribadi.

Sejak itu, namanya terus menjadi sanjungan ramai jurusolek profesional dan membina nama jenama tersendiri selain mencipta penanda aras baru dalam bidang kecantikan.

Sempena sambutan ulang tahun ke-30 tahun lalu, jenama itu memperkenalkan kedai konsep terbaru yang menyerlahkan kepakaran mereka dalam bermain dengan warna.

Ia juga memperkenalkan pasukan kreatif digelar Shu Uemura Atelier. Pasukan berkenaan dianggotai jurusolek generasi baru di bawah seliaan Pengarah Artistik Antarabangsanya, Uchiide.

Hasilnya, pasukan berkenaan melancarkan edisi pertama projek tahunan mereka yang dinamakan Vision of Beauty 01. Untuk Malaysia, jenama itu turut mempunyai barisan pasukan kreatifnya sendiri yang diketuai jurusolek elit antarabangsa yang juga Pengurus Bahagian Pendidikannya, Lisa Yap.

Menurut Uchiide, setiap tahun jenama berkenaan memperkenalkan tema solekan tertentu dengan dua format produk iaitu koleksi kecantikan dan edisi artis.

Berbeza dengan suatu ketika dulu, bidang kecantikan wanita hari ini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek kecantikan semata-mata kerana ia kini turut dipe­ngaruhi oleh kreativiti rekaan fesyen, seni serta inovasi sains dan teknologi.

"Menerusi koleksi Vision of Beauty, pelbagai produk baru ditampilkan iaitu pembayang mata, gel garisan mata, gincu, bedak asas, bulu mata palsu serta koleksi artis eksklusif.

"Koleksi kali ini mampu menyerlahkan pesona wanita yang bukan saja berani, tetapi juga suka meneroka," katanya.

Produk berkenaan sudah pun berada di pasaran dan boleh diperoleh pada harga bermula RM75.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:00 AM