RIASAN wajah semula jadi, olesan bibir klasik dan penampilan lebih elegan antara nadi utama dalam trend solekan musim ini.
RIASAN wajah semula jadi, olesan bibir klasik dan penampilan lebih elegan antara nadi utama dalam trend solekan musim ini.
BEAUTIFUL and Damned.
BEAUTIFUL and Damned.
STRENGTH of Beauty.
STRENGTH of Beauty.
RED 70s.
RED 70s.
LOVE Worn.
LOVE Worn.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Apa sebenarnya tafsiran kecantikan itu? Juga apa pandangan skeptikal mengenainya? Sememangnya kecantikan itu bersifat individu.

Sejak berabad lamanya manusia sering dinilai daripada kecantikannya sama ada dari segi luaran dan dalaman.

Seiring masa, solekan juga menjadi sebahagian daripada sifat individu itu, malah berubah ke arah paradoks yang indah nilainya.

Klasik, moden, kontemporari, eksentrik, kreatif, semula jadi, dinamik dan radikal semuanya saling bergabung menghasilkan satu unsur estetika yang masih mengekalkan impak normal dalam penataannya.

Bagi MAC, semua elemen ini bagaikan satu subjek menarik untuk diterokai dalam pencarian ke arah aspek keseimbangan seni dan solekan era ini.

Seperti apa yang dilihat dalam persembahan trend MAC bagi musim luruh dan dingin (AW15) kali ini, riasan wajah semula jadi, olesan bibir klasik dan penampilan lebih elegan diangkat menjadi nadi kepada himpunan alirannya.

Ada sebahagiannya dicetuskan daripada aliran musim lalu yang diberi nafas baru sementara yang lain diraih hasil kreativiti generasi moden.

Menerusi sesi pengenalannya oleh Pengarah Solekan Artistry MAC Asia Pasifik, James Molloy yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, AW15 menonjolkan empat zon aliran iaitu Beautiful and Damned, Strength of Beauty, Love Worn dan Red 70s, yang tidak hanya menekankan kepada aspek solekan cantik menarik, tetapi lebih kepada aura wanita yang tampil berkeyakinan tinggi.

Berikut huraian lanjut mengenai empat aliran itu seperti yang dipersembahkan Molloy, selain tambahan tip solekan mudah untuk wanita Malaysia.

Beautiful and Damned

Hitam. Sebahagian besar sejarah fesyen signifikan dengan rona ini. Hitam dikaitkan dengan misteri. Hitam juga dikatakan penuh elegan dan berani.

Bagi aliran ini, hitam memainkan peranan utama khususnya pada lorekan mata dan bibir. Asalnya gothic dan punk, namun MAC meniupkan sisi yang lebih kontemporari.

Ada yang gusar malah tidak kurang pula yang berani menggayakannya. Jelas Molloy, trend ini boleh digunakan untuk riasan harian tetapi diubah pemilihan warnanya kepada ton gelap mewah seperti biru diraja atau spektrum ungu.

“Fokus utamanya tidak menampakkan trend goth atau emo yang keterlaluan. Warna gelap sebenarnya boleh tampil chic dan sofistikated - bergantung kepada cara ia digayakan.

“Saya syorkan rona beri gelap pada bibir dan layangkan sedikit pembayang pipi warna kegemaran. Cara ini dapat menghindarkan daripada dilabel si gothic.

“Untuk mata, boleh cuba penggaris mata ungu gelap atau biru diraja yang berupaya memberikan definisi pada solekan mata tetapi pada masa sama masih kelihatan anggun dan manis,” jelas Molloy.

Strength of Beauty

Kecantikan dan aspek feminin saling berkait dalam dunia solekan. Istilah ‘no makeup makeup’ makin kerap diulang pakai sejak beberapa musim kebelakangan lalu, tetapi hakikatnya tiada jalan pintas untuk mendapatkan hasil riasan semula jadi.

Bagaimanapun, dalam aliran ini, MAC menunjukkan dengan calitan ringkas di kening dan bedak asas minimum mampu menghasilkan solekan semula jadi dengan impak wajah tanpa kesan cela.

Untuk trend ini, MAC memperlihatkan gaya kening lurus yang banyak dipaparkan di pentas peragaan dunia. Namun tidak ramai yang berjaya melakarnya dengan baik lalu membuatkan solekan wajah tidak sekata dan celaru.

Nasihat Molloy, gunakan pembayang mata yang warnanya satu atau dua kali lebih terang daripada warna asal bulu kening.

“Lakar lembut garisan lurus pada kening dengan berus khas. Jika ronanya terlalu gelap atau dramatik sejak awal, sukar untuk mengadunnya selepas itu.

“Apabila memperoleh bentuk yang diingini, barulah diadun sedikit dengan warna gelap menggunakan pembayang mata atau pensel kening,” katanya.

Love Worn

Riasan kulit segar menjadi antara titik tumpuan dalam musim ini. Dengan sedikit adunan smokey di bahagian mata, aliran Love Worn ini bukan saja menyuntik gaya segar pada riasan tradisional malah mengangkat rentak kontemporari pada evolusi solekan dunia.

Tegas Molloy, menyediakan kulit yang cantik dan bebas cela amat penting sebelum memulakan solekan.

“Solekan akan kelihatan menarik dan sempurna apabila dirias pada wajah licin dan lembap, jadi sebaiknya mulakan dengan produk pengelupasan lembut, seperti MAC Lightful Softening Lotion yang membantu menyingkirkan sel kulit mati lalu membuatkan kulit lebih bersedia menerima kebaikan pelembap.

“Saya memilih pelembap ringan untuk solekan siang dan sedikit olesan primer apabila diperlukan.

“Untuk riasan semula selepas beberapa jam bersolek, disyorkan pedap minyak pada seluruh wajah khususnya zon-T menggunakan kertas minyak khas dan pilih bedak Mineralize kerana ia membantu menutup kesan cela tanpa membebankan kulit,” katanya.

Red 70s

Gaya retro sering melatari trend solekan pada setiap musim berikutan impak vintaj dan klasik yang ditonjolkannya.

Bagi aliran ini, rona lembayung pada bibir menjadi tumpuan kerana hasilnya yang glamor dan mudah digayakan. Ia juga sesuai untuk hampir semua jenis ton kulit dan amat chic apabila digandingkan dengan riasan mata sederhana.

Namun kata Molloy, ramai yang mengabaikan solekan mata sederhana atau ringkas kerana beranggapan perlunya melakar garisan hitam tebal bagi menepati trend solekan era itu.

“Gaya paling cool untuk solekan bibir retro ini ialah dengan memberikan riasan mata paling ringkas dan minimum.

“Gunakan pembayang mata hitam atau perang gelap lalu dibalas dengan maskara tebal bagi memastikan bahagian terbabit lebih definisi tanpa mengenepikan tumpuan pada bibir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 10:52 AM