AFP

Silverstone, England: Lewis Hamilton (gambar) melakar kemenangan hatrik selepas mengatasi Nico Rosberg untuk memenangi Grand Prix British sekali gus kini hanya ketinggalan empat mata di belakang rakan sepasukan dari Mercedes itu yang masih kekal mendahului kejuaraan pemandu.

Hamilton, juara dunia tiga kali turut melakar kemenangan keempat daripada lima perlumbaan sementara Rosberg masih disiasat berikutan insiden perbualan diradio pasukan ketika dia mengalami masalah kotak gear.

Pemandu berbakat dari Belanda Max Verstappen pula menyambar podium ketiga, mengatasi rakan sepasukan dari Red Bull Daniel Ricciardo.

Pelumba Finland Kimi Raikkonen pula meraih tempat kelima bersama jentera merah Ferrari.

Berikutan insiden di Grand Prix Austria yang menyaksikan perlanggaran antara Hamilton dan Rosberg di pusingan terakhir, Rosberg diejek oleh penyokong ketika majlis penyampaian hadiah di Silverstone.

“Terima kasih kepada pasukan yang melakukan tugas dengan cemerlang,” kata Hamilton.

Dia menambah: “Penyokong di sini sangat luar biasa. Saya tidak pasti adakah anda gembira seperti yang saya alami sekarang.”

Keadaan hujan sebelum bermulanya perlumbaan menyaksikan keadaan kelam kabut dengan semua pasukan menggunakan tayar basah selain permulaan perlumbaan diiringi oleh kereta keselamatan.

Hamilton mendahului enam pusingan pertama di belakang kereta keselamatan tetapi kurang senang kerana mendakwa kereta keselamatan terlalu perlahan.

Malah pada pusingan kelima, dia mengeluarkan kata-kata: “Kita boleh bermula sekarang Charlie!”, merujuk kepada mesej yang ditujukan kepada Pengarah Perlumbaan Charlie Whiting.

Perlumbaan sebenar hanya bermula di pusingan keenam sebelum rata-rata pemandu masuk ke hentian pit untuk menukar tayar pertengahan.

Di hentian pit, hampir berlaku dua perlanggaran sebelum Hamilton yang kekal di atas litar berjaya menjarakkan diri dengan kelebihan 3.6 saat di pusingan ketujuh.

Kedua-dua pemandu Mercedes melakukan hentian pit untuk menukar tayar pada pusingan kelapan.

Ketika keadaan litar semakin kering, Verstappen dan Rosberg cuba untuk mengejar Hamilton tetapi pemandu British itu terus konsisten memimpin saingan sehingga ke garisan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 12:17 PM