AKSI Hamilton di GP Mexico. -Foto AFP
AKSI Hamilton di GP Mexico. -Foto AFP
Hamilton meraikan kejayaannya bergelar juara dunia buat kali keempat. -Foto AFP
Hamilton meraikan kejayaannya bergelar juara dunia buat kali keempat. -Foto AFP
AFP

MEXICO CITY: Lewis Hamilton meraih kejuaraan dunia keempatnya dengan cara tidak dijangka apabila menamatkan Grand Prix Mexico di tempat kesembilan, selepas berlanggar dengan Sebastian Vettel di pusingan pertama.

Pemandu 32 tahun Britain itu hanya perlu menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas di Mexico untuk mengesahkan kejuaraan, jika Vettel memenangi perlumbaan.

Namun, pemandu Ferrari berkenaan juga tidak bernasib baik apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Hamilton bangkit dari kedudukan terakhir selepas tayar jentera Mercedesnya pancit dan perlu memasuki pit di pusingan pembukaan dalam perlumbaan yang dimenangi Max Verstappen untuk pasukan Red Bull.

Manakala Vettel yang terbabit dalam insiden perlanggaran dengan Hamilton mengejar kelompok hadapan dari tempat ke-19, sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk Ferrari.

Dia yang sudah mengumpul empat kejuaraan dunia juga terpaksa melakukan hentian pit untuk menukar sayap depan jenteranya.

Kejayaan penuh dramatik Hamilton itu menjadikannya pemandu Britain pertama meraih empat kejuaraan, mengatasi Jackie Stewart, dan kini sebaris dengan Vettel serta Alain Prost dari Perancis.

Hanya pemandu Jerman, Michael Schumacher yang memegang rekod dengan tujuh gelaran dan Juan-manuel Fangio dari Argentina dengan lima kejuaraan, mengatasi kelompok tiga pemandu berkenaan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di selekoh tiga, saya memberikannya ruang yang cukup besar,” kata Hamilton.

“Ia rasa seperti mimpi. Ini bukan perlumbaan yang anda idamkan apabila ketinggalan 40 saat, tetapi saya tidak pernah berputus asa.”

Selepas lima kemenangan dalam enam perlumbaan sebelumnya, keputusan perlumbaan itu jelas mengecewakan Hamilton - yang sebelum ini berkata, dia mahu memenangi gelaran dengan bergaya.

Verstappen memenangi perlumbaan kali ini, disusuli rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen dari Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 5:24 PM