HAMILTON mendakap trofi selepas muncul juara GP British. FOTO AFP
HAMILTON mendakap trofi selepas muncul juara GP British. FOTO AFP
AFP

Silverstone: Lewis Hamilton menghidupkan kembali peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan Formula Satu selepas muncul juara Grand Prix (GP) British buat kali kelapan walaupun dikenakan penalti 10 saat selepas melanggar Max Verstappen.

Dibantu dengan sokongan lebih 140,000 penonton, Hamilton cuba untuk memintas Verstappen di selekoh Copse di pusingan pertama namun dia melanggar pemandu Red Bull itu sehingga terbabas dan melanggar penghadang.

Charles Leclerc berjaya mendahului perlumbaan, namun walaupun dikenakan penalti 10 saat di pit, bintang Mercedes itu berjaya memintas pemandu Ferrari di Copse pada pusingan ke-50.

Sementara itu, Verstappen di bawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut, jelas Red Bull.

"Saya harap Lewis gembira dengan apa dia lakukan. Ia adalah kemenangan yang sia-sia," kata Prinsipal Red Bull, Christian Horner.

Kemenangan Hamilton menamatkan kejayaan lima berturut-turut Red Bull sekali gus merapatkan jarak dengan Verstappen hanya kurang lapan mata.

Leclerc menduduki tempat kedua selepas ketinggalan 3.81 saat di belakang.

Pelumba kedua Mercedes, Valtteri Bottas menduduki tempat ketiga, mengatasi dua pelumba McLarens, Lando Norris dan Daniel Ricciardo.

Hamilton mengakui bahawa percubaannya untuk memintas Verstappen bukan satu kesalahan.

"Saya sentiasa mengukur jarak dalam setiap percubaan terutama ketika bersaing dengan Max. Dia sangat agresif. Hari ini saya sentiasa mengekorinya dan dia membuka ruang," kata Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 7:55 AM