Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen bersama trofi dimenangi di Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO AFP
Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen bersama trofi dimenangi di Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO AFP
AFP

Austin: Max Verstappen mengatasi saingan sengit Lewis Hamilton untuk memenangi Grand Prix (GP) Amerika Syarikat sekali gus melebarkan jurang di puncak kejuaraan pemandu kepada 12 mata.

Verstappen pemandu Red Bull meraih kemenangan pertamanya di Litar Amerika yang disaksikan 140,000 peminat.

Pemandu Mercedes dan juara bertahan, Hamilton berjaya merapatkan jurang di bawah satu saat pada dua pusingan terakhir, tetapi gagal memintas pemandu Belanda itu.

"Sudah tentu kami tewas di permulaan jadi kami perlu cuba melakukan perkara lain." kata Verstappen.

"Kerosakan tayar begitu cepat di litar ini, kami bertindak agresif dan saya tidak pasti ia berhasil, tetapi beberapa pusingan terakhir amat menyeronokkan.

"Tergelincir sedikit di selekoh berkelajuan tinggi tetapi saya amat gembira apabila dapat bertahan."

Sergio Perez melengkapkan kedudukan podium untuk Red Bull diikuti Charles Leclerc dari Ferrari dan pemandu McLaren Daniel Ricciardo.

Kejayaan itu adalah kemenangan kelapan Verstappen musim ini, dan kali pertama di litar yang diungguli Hamilton sebanyak lima kali.

"Max melakukan tugasnya dengan baik hari ini." kata Hamilton.

"Ia perlumbaan yang sukar. Saya bermula baik, memberikan segalanya tetapi mereka mempunyai kelebihan."

Hamilton yang bermula dari petak kedua dan memintas Verstappen ketika perlumbaan bermula.

Pemandu British itu mendahului perlumbaan untuk 10 pusingan sehingga Red Bull membuat hentian pit awal selepas melihat Hamilton bergelut dengan cengkaman tayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 10:03 AM