ORANG ramai memujuk anggota keluarga Kem Ley ketika mengarak mayat mangsa.
ORANG ramai memujuk anggota keluarga Kem Ley ketika mengarak mayat mangsa.

Phnom Penh: Seorang penganalisis politik terkenal Kemboja ditembak mati di khalayak ramai semalam, ketika ketegangan antara Perdana Menteri Hun Sen dan pembangkang semakin memuncak menjelang pilihan raya tahun depan.

Menurut polis, Kem Ley, 46, penyokong kuat kumpulan ‘Khmer For Khmer,’ ditembak tiga kali di sebuah kedai di stesen minyak di ibu negara itu.

“Kem Ley ditembak mati,” kata jurucakap Polis Ketenteraan Negara, Eng Hy, tanpa mengulas lanjut.

Suspek berusia 38 tahun ditangkap dan mengaku membunuh Kem Ley berhubung pertikaian wang, kata Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan.

Rakaman video pengakuan penyerang itu tersebar luas di media sosial tidak lama selepas pembunuhan itu, namun tidak dapat disahkan.

Wartawan Reuters menyaksikan tubuh Kem Ley berlumuran darah di atas lantai kedai itu dengan ratusan orang berkumpul berhampirannya.

Isterinya Pou Rachana, yang mengandung juga dilihat menangis.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Seseorang menghubungi saya dan memberitahu dia ditembak,” katanya.

Penyokong berkumpul di stesen minyak bagi menghalang pihak polis mengambil mayatnya, kerana mereka mahu mengaraknya sepanjang jalan di ibu negara.

Sebelum ini Kem Ley dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Hun Sen dan yang terbaru mengulas laporan oleh kumpulan antirasuah, Global Witness. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:52 AM