AFP

Marseille, Perancis: Euro 2016 pada awalnya dilihat pentas untuk Paul Pogba (gambar) menyerlah selepas memeterai perjanjian yang dianggap rekod perpindahan dunia dengan Juventus.

Namun, aksi cemerlang Antoine Griezmann ketika bertemu Jerman dan Iceland menyaksikannya wira kepada pasukan tuan rumah.

Pogba diharap menyerlah pada penampilan pertamanya dalam saingan Euro kerana mempunyai skil tinggi serta mampu menjaringkan gol dari jarak jauh yang menjadi aset paling berharga untuk Juventus.

Namun, dia gagal mempamer aksi diharapkan meskipun Manchester United serta Real Madrid dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain tengah itu sekadar mempamer aksi biasa saja sepanjang empat perlawanan Perancis. Namun, Pogba tetap dilabel pemain berkaliber dan bekas bintang Perancis Thierry Henry percaya, pemain itu akan menyerlah pada masa depan.

“Lupakan Perancis. Saya rasa dia akan menjadi antara seorang pemain terbaik dalam sejarah. Dia mempunyai kemampuan untuk menjadi yang terbaik,” kata Henry.

Pogba cukup menyerlah pada perlawanan setiap minggu bersama Juventus.

Menjelang saingan Euro 2016, Pogba kerap muncul di muka depan majalah yang melabelkan dirinya sebagai bakal menjadi legenda dan pemain tengah berkaliber dalam usaha Perancis untuk mengulangi generasi emas yang memenangi Piala Dunia 1998.

Dengan topik perpindahan kerap diperkatakan, Perancis berjaya menewaskan Romania dan Albania selain seri bertemu Switzerland dalam usaha mereka untuk muncul juara kumpulan. Namun, Pogba dlihat gagal menyerlah.

Jurulatih Didier Deschamps menghukum Pogba berikutan aksi sederhana dengan meletakkannya di bangku simpanan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan bertemu Albania.

Di Marseille, Pogba menggantikan Anthony Martial pada separuh masa kedua ketika Perancis meraih gol menerusi Griezmann dan Dmitri Payet.

Pogba kemudian menunjukkan isyarat tangan kepada media ketika meraikan gol itu yang dilabelkan sebagai tindakan kurang bijak.

Deschamps mempertahankan tindakan pemainnya itu. Tetapi, bekas penyerang England Gary Lineker menerusi akaun Twitter miliknya berkata: “Adakah Pogba pemain yang terlalu disanjung di dunia?”

Kenyataan mengenai
Pogba itu dibalas ejennya Mino Raiola.

“Apabila seseorang menerima bayaran untuk memberikan pendapatnya, ia tidak bermaksud mereka tahu apa yang mereka sendiri katakan.

“Inilah yang berlaku kepada Lineker,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:05 AM