Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Penolong Pegawai Penyediaan Makanan di Hospital Raub, Pahang mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat emas menerusi Pertandingan Thailand Ultimate Chef Challenge 2016 (TUCC) dalam acara mengukir buah-buahan dan sayur-sayuran sempena THAIFEX (World Food of Asia) di Bangkok, Thailand, penghujung Mei lalu.

Muhammad Afiq Abdullah ,29, dinobatkan sebagai juara selepas mengukir buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bertemakan kehidupan di dalam hutan sekali gus berjaya memikat hati juri pada pertandingan berkenaan.

Menurutnya, pertandingan yang disertai itu amat sengit kerana membariskan chef berpengalaman terutamanya dari Taiwan, Thailand, Vietnam dan Jepun.

"Alhamdulillah, berkat kerja keras selama lebih empat tahun akhirnya membuahkan hasil dan kemenangan ini adalah pemangkin semangat untuk saya terus berjaya.

“Menempatkan diri dalam kelompok pertama terbaik adalah sesuatu yang istimewa, apatah lagi dapat menewaskan peserta lain dari beberapa negara,” katanya.

Katanya, dalam pertandingan itu, dia menghasilkan ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bertemakan suasana dan kehidupan di dalam hutan.

"Saya menggunakan sayur-sayuran labu dan lobak yang digabungkan dengan tembikai serta tembikai susu sebelum mengukir bahan itu menjadi ikan, bunga dan burung menyamai apa yang terdapat dalam hutan.

"Saya mula berkecimpung dalam bidang ukiran sejak 2008 lalu dan Alhamdulillah, idea dengan konsep hutan ini berjaya memenuhi impian saya selama ini untuk bergelar juara dan membawa pulang pingat emas," katanya yang juga pemegang ijazah dalam bidang Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Menurutnya, pertandingan itu adalah kali kedua disertainya sekali gus meraih tempat pertama berbanding kali pertama penyertaannya apabila hanya mampu membawa pulang pingat perak.

"Kemenangan ini adalah saat terbaik terutama untuk mengharumkan nama negara sekali gus memartabatkan lagi industri ukiran ini terutama kepada generasi muda," katanya.

Katanya, dia menyifatkan pertandingan peringkat dunia itu juga sebagai satu platform yang amat baik untuk mengetengahkan bakat chef muda dan tidak menafikan setiap pertandingan yang disertai pasti disusuli dengan harapan yang cukup tinggi.

"Mungkin dengan penyertaan dalam pertandingan ini saya dapat menjadi pelapis dalam bidang kulinari dan berharap dapat meneruskan pencapaian terbaik yang sedia ada.

“Menerusi pertandingan ini juga saya dapat membuktikan bahawa setiap pertandingan yang disertai mampu menjadikan saya lebih positif dan terus menjulang nama negara diperingkat dunia, InsyaAllah,” katanya.

Dua lagi rakyat Malaysia iaitu Wan Edie Azlie, 34, dan Muhammad Iskandar Ishak, 31, masing-masing membawa pulang pingat Perak dan Gangsa dalam acara individu Western Plated Desserts dan Baked Dish Free Style.

THAIFEX adalah pameran makanan, peralatan dan perkhidmatan dalam bidang makanan terbesar di Thailand yang diadakan setiap tahun dengan menghimpunkan semua pemain industri perkhidmatan makanan dari Thailand dan seluruh dunia.

Pertandingan berkenaan di anjurkan oleh Thailand Chefs Associaton yang menjadi acara tahunan di negara itu selain turut diadili oleh barisan juri dari persatuan World Association Chef Societies (WACS).

TAMAT//

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 5:50 PM