Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon..

Saya mempunyai rakan bernama F dan usia perkenalan kami menjangkau lima tahun. Walaupun jarang berjumpa, hubungan kami sangat rapat kerana saling mempercayai antara satu sama lain. Apabila saya ada masalah, F akan memberi semangat. Pendek kata, kami sentiasa memerlukan antara satu sama lain hingga menimbulkan rasa cemburu rakan sekeliling.

Enam bulan lalu, kami berselisih faham kerana saya mendapati F pandai menipu. Pada mulanya saya cuba berfikiran positif apabila mengetahui F menipu kerana sayangkan persahabatan kami. Tetapi perasaan sabar akhirnya roboh kerana mendapati dia memang suka menipu.

Lama kelamaan saya rasa seperti diperbodohkan dan kepercayaan terhadapnya hilang. Saya mengambil keputusan memutuskan perhubungan persahabatan kami kerana rasa dikhianati.

Apakah tindakan saya ini betul dan wajar? Saya kini berada dalam konflik kerana masih sayangkan persahabatan kami, namun tidak dapat menerima sikap F. Apa yang perlu saya lakukan?

HILANG KEPERCAYAAN,

Johor

Persahabatan adalah satu hubungan yang dijalinkan di antara dua orang dan sentiasa berkawan semasa kita senang dan susah. Itu yang dinamakan sahabat. Apa yang terjadi kepada adik memang sangat menyakitkan apabila orang yang dipercayai meng­khianati persahabatan dibina.

Memutuskan persahabatan atau silaturahim adalah satu perkara yang dilarang Islam. Di dalam hadis Nabi, daripada Jubair bin Muth'im Radhiyallahu 'anhu, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga seorang pemutus, iaitu pemutus tali silaturahim." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dr menasihatkan adik mengambil masa untuk memaafkan dan melupakan apa yang terjadi dengan F. Mungkin ada penyebab kepada perubahan F yang suka menipu.

Bersangka baik dengan F. Jadilah sahabat yang baik dengan cuba menyelami apa yang terjadi pada F. "Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah."-Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Adik juga boleh berterus terang kepada F dengan menjelaskan perasaan kecewa atas sikapnya itu. Jelaskan bahawa adik memang menghargai per-sahabatan ini, tetapi merasa tidak selesa dengan sikapnya.

Dr percaya jika rakan adik benar-benar sayang kepada persahabatan ini, dia akan berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan melakukan perubahan yang menuju ke arah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:01 AM