Adil Rami (kiri) dan Pamela ketika menghadiri salah satu program televisyen. FOTO File AFP
Adil Rami (kiri) dan Pamela ketika menghadiri salah satu program televisyen. FOTO File AFP
AFP

BEKAS bintang siri drama Baywatch, Pamela Anderson mendedahkan dia sudah berpisah dengan pemain pertahanan yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis, Adil Rami dan menggelarkan pemain berkenaan ‘raksasa’ dan ‘penipu’.

Hubungan intim selama dua tahun Pamela dan pemain kelab Marseille yang lebih muda 18 tahun daripadanya menarik perhatian ramai di Perancis, terutama apabila Rami menjadi hero dalam skuad pada kempen Piala Dunia 2018 di Russia walaupun tidak berpeluang beraksi.

Namun hubungan pasangan itu dikatakan berakhir secara tiba-tiba, dengan Pamela menuduh Rami menipu.

“Akhirnya (lebih daripada) dua tahun dalam hidup.. saya ditipu bulat-bulat,” Pamela, 51, berkata menerusi Instagram miliknya. “Saya diperdaya, membawa kepada... kisah “percintaan” kami yang menjadi tanda soal.

“Perasaan saya hancur selepas mengetahui beberapa hari lalu dia mempunyai hubungan dengan wanita lain.”

Pelakon dan model itu berkata Rami “sering berjenaka mengenai beberapa pemain lain yang mempunyai teman wanita sampingan dan menetap di apartmen berdekatan dengan isteri mereka. Dia memanggil lelaki seperti itu raksasa. Tetapi ini lebih teruk. Dia menipu semua... Dia adalah raksasa.”

Wakil Rami tidak memberi sebarang maklum balas daripada AFP apabila diminta mengulas lanjut mengenai dakwaan Pamela. Pelakon jelita itu mempunyai dua anak lelaki hasil hubungan dengan pemuzik kumpulan rock, Motley Crue, Tommy Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:01 AM