Mazizul Dani

Kuala Lumpur: Sudahlah lari tinggalkan hutang ceti haram (along) kepada keluarga, anak lelakinya berusia 4 tahun juga dipercayai didera kekasih sehingga patah dua tulang tangan kiri selain luka akibat dibakar.

Itu onar dibuat seorang adik, Jamaliah, 25 (bukan nama sebenar) sehingga rumah abangnya di sini disimbah cat merah oleh along selain ibu dan adik lelakinya juga diugut menerusi panggilan telefon.

Sahirul, 31, (bukan nama sebenar) berkata, dia mengetahui adiknya, anak keempat daripada enam adik-beradik itu berhutang selepas didatangi along yang menuntut hutang.

Dia dan keluarga semakin tertekan apabila rumahnya di sini disimbah dengan cat merah yang diisi dalam enam bungkusan plastik kira-kira jam 2 pagi pada Jumaat lalu.

"Saya hanya mengetahui adik berhutang dengan along pada Disember lalu selepas ada orang datang rumah dan saya kemudiannya membuat panggilan ke nombor telefon yang turut mengganggu seorang lagi adik saya dan ibu.

"Saya difahamkan Jamaliah meminjam RM10,000 dengan ceti haram itu dan menggunakan alamat rumah saya yang dihuni bersama isteri, tiga anak dan seorang anak lelakinya berusia 4 tahun yang kini dalam jagaan saya.

"Kami sekeluarga kini dalam keadaan trauma dan bimbang sekiranya terjadi apa-apa kepada isteri dan anak-anak termasuk pandangan jiran yang mungkin fikir kami yang meminjam wang," katanya ketika ditemui tengah hari tadi.

Susulan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Batu Caves pada hari yang sama.

Sahirul berkata, kali terakhir dia menemui adiknya itu ialah pada Disember lalu di rumah keluarga di Pahang sebelum Jamaliah menghilangkan diri bersama kekasihnya berusia 30-an.

Ketika itu Jamaliah membawa anak lelakinya yang dalam keadaan menyedihkan dipercayai didera.

"Saya tanya kenapa. Dia (Jamaliah) jawab kemalangan, tapi saya tak percaya sebab badan dan muka lebam-lebam dan patah riuk. Ada bekas seperti terbakar di tangan dan kaki manakala dua tulang tangan kiri patah selain banyak bekas kecederaan yang lain.

"Saya ada tanya kanak-kanak itu siapa yang buat macam itu pada dia. Dia jawab 'Papa'. Dia memang panggil lelaki itu (teman lelaki Jamaliah) 'Papa'. Saya percaya dia didera lelaki itu kerana pada saya kanak-kanak tidak akan menipu.

"Tidak berpuas hati, saya bawa dia ke Johor kerana dia tinggal di sana waktu itu untuk mengambil barangannya dan membuat laporan polis mengenai penderaan itu di Balai Polis Rengit," katanya.

Atas laporan itu, Fitri kemudian diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama sebulan sebelum diserahkan kepadanya sebagai penjaga yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 10:53 PM
Sahirul ketika ditemubual wartawan Harian Metro
Sahirul ketika ditemubual wartawan Harian Metro
Kesan simbahan cat di kediaman Sahirul dan kesan dera anak Jamaliah.
Kesan simbahan cat di kediaman Sahirul dan kesan dera anak Jamaliah.