ZAKRI Ibrahim
ZAKRI Ibrahim
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Berang dengan tuduhan menipu, bekas juara dunia Zakri Ibrahim akan membuat laporan polis serta memfailkan saman malu terhadap beberapa ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN).

Laporan akan dibuat esok (8 Januari) di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras (IPD Cheras) dan beliau memberi masa selama 14 hari untuk beberapa individu berkenaan melakukan permohonan maaf secara terbuka atau membuktikan tuduhan mengatakan dirinya menipu.

Namun, jika ia tidak terjadi, maka beliau tidak teragak-agak untuk memfailkan saman malu kerana hasratnya adalah untuk membersihkan nama yang tercalar.

“Sepanjang lima tahun saya jadi presiden dan pengasas PBPN, kita menjaga kebajikan bekas pesilat, menyokong segala perjalanan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan membantu kerajaan mencari bekas pesilat negara untuk dibela. Namun, saya tidak pernah mencampuri urusan peribadi mereka.

“Tetapi, sejak akhir-akhir ini, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ada dua tiga individu yang membangkitkan isu peribadi yang tidak ada kena mengena dengan persatuan.

“Saya pernah memanggil mereka untuk bersemuka pada 29 Disember lalu untuk berbincang mengenai perkara yang tidak puas hati, namun mereka tidak muncul atas alasan tertentu. Malah semalam, mereka menuduh saya menipu dan ini menjatuhkan kredibiliti saya,” kata Zakri ketika kepada pemberita, semalam.

Zakri meletakkan jawatan selaku pengerusi PBPN pada 24 Oktober 2017 secara sukarela selepas membuat kenyataan memohon Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menarik balik kenyataannya mengenai orang lama wajar ‘berehat di muzium’.

Bekas pemenang pingat emas Kejohanan Silat Olahraga Dunia 2000 Jakarta itu turut mendakwa terdapat pakatan mencipta tuduhan yang tidak ada bukti mengenai dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:07 AM