TAMPIL mewah, bergaya dengan koleksi Petang Raya 2016/2017.
TAMPIL mewah, bergaya dengan koleksi Petang Raya 2016/2017.
Faizatul Farlin Farush Khan


Mengambil inspirasi berdasarkan rekaan pakaian golongan bangsawan dan raja, koleksi Petang Raya 2016/2017 nukilan pereka terkenal Bernard Chandran kali ini memberi fokus kepada penampilan mewah dan indah, kaya dengan perincian.

Malah, gaya yang ditampilkan turut memperlihatkan penggunaan skaf kain sutera bercorak dan pakaian bertatahkan kristal. Lari daripada kebiasaan, koleksi itu meng­gabungkan fabrik bercorak dengan warna berbeza dalam satu rekaan.

Menurut Bernard, koleksi kali ini berkaitan kemewahan selain menyuntik elemen barang kemas pada pakaian.

Biarpun koleksi itu menampilkan gabungan corak bertentangan dengan warna berbeza, ia tidak nampak sarat, sebaliknya menjadikan pemakai kelihatan lebih muda dan menarik.

“Kami mengetengahkan 46 penampilan dalam koleksi ini dan ia memperlihatkan diri saya yang lebih yakin untuk membuat rekaan mengikut apa yang saya mahukan.

“Saya mahu mencabar diri sendiri menggunakan banyak corak dalam koleksi kali ini dan mahu melangkau sempadan dengan menghasilkan sesuatu yang berbeza,” katanya sempena pertunjukan fesyen itu.

Siluet inovatif diperincikan dengan jahitan rekaan manik yang unik, hiasan sarat dan labuci menarik perhatian, manakala rekaan sofistikated skirt menampilkan potongan yang menjadikannya lebih beralun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:02 AM