HASNAN menunukkan barangan yang dirampas.
HASNAN menunukkan barangan yang dirampas.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis menembak mati lelaki 24 tahun dipercayai ketua kumpulan Geng Samun Rem Sawit di Lebuhraya Ipoh-Lumut, dekat Lahat, Ipoh, 9 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata suspek yang menunggang motosikal terserempak sepasukan polis yang ingin menahannya sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Katanya, polis kemudiannya membalas tembakan sebelum suspek terus rebah selepas terkena tembakan itu.

Menurutnya, polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejaki kumpulan ini yang dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah Pejabat Timbangan Sawit di Tapah, membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.

"Suspek berasal dari Batu Gajah dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk dadah dan samun selain dikehendaki bersangkut satu kes samun empat kenderaan yang masih dalam perbicaraan di Kampar.

"Polis merampas motosikal dinaiki suspek, revolver, peluru dan parang," katanya dalan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Berikutan itu, polis mengadakan beberapa serbuan di Ipoh dan Batu Gajah serta menahan dua lelaki berusia 26 dan 33 tahun yang dipercayai ahli kumpulan berkenaan.

"Dua suspek ini juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu bunuh dan curi manakala seorang daripada suspek berusia 26 tahun turut dikehendaki bersabit kes samun empat kenderaan di Kampar.

"Menerusi serbuan dan tangkapan itu, polis merampas empat parang, pisau, tiga pasang sarung tangan, empat topeng muka, peralatan menghisap dan menjual dadah, pelbagai barangan peribadi dipercayai disamun, 10 telefon bimbit dan Proton Satria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 12:45 PM