NG  (tengah) dan pegawainya menunjukkan barang kes ketika tangkapan suspek pertama.
NG (tengah) dan pegawainya menunjukkan barang kes ketika tangkapan suspek pertama.

Kampar: Seorang lelaki yang juga ketua kumpulan curi kenderaan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes kecurian empat kereta membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Iskandar, di sini, 9 November lalu.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai S Mathekumar, 33, yang alamat terakhirnya di Taman Bandar Baru, Ipoh dikehendaki kerana dipercayai menjadi ketua kumpulan Geng Mathe yang aktif mencuri kenderaan di sekitar Kampar.

Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai membabitkan lima orang dan dua berjaya ditahan polis, baru-baru ini, manakala tiga lagi masih bebas.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, dua suspek yang berjaya diberkas adalah lelaki tempatan berusia 30 dan 23 tahun dan hasil soal-siasat dijalankan berjaya mengenal pasti ketua kumpulan berkenaan.

“Tangkapan pertama berjaya dilakukan pada hari kejadian (9 November) di Jalan Tronoh Mines, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi iaitu dua jam selepas mangsa (pemilik bengkel) membuat laporan polis selepas mendapati empat kereta pelanggan di bengkelnya dicuri.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas satu daripada empat kereta yang hilang jenis Proton Persona dan satu telefon bimbit serta pelbagai peralatan untuk mencuri kereta seperti pemotong besi, parang, pisau, pengumpil, gergaji dan tiga bateri kereta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, semalam.

Menurutnya, suspek pertama yang ditahan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen, Ipoh manakala suspek kedua pula berjaya ditahan di kediamannya di Bidor pada Selasa lalu dan kini masih direman untuk siasatan lanjut.

“Polis mengesan tiga lagi penjenayah yang masih bebas di mana seorang sudah dikenal pasti. Polis juga sedang mengesan tiga lagi kereta jenis Perodua Myvi, Nissan Almera dan Suzuki Swift yang masih hilang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 05-4652222 atau membuat laporan di balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:24 AM