NG menunjukkan gambar suspek ketua kumpulan curi kereta yang dikehendaki polis. FOTO Asrizal Alias
NG menunjukkan gambar suspek ketua kumpulan curi kereta yang dikehendaki polis. FOTO Asrizal Alias
Oleh Asrizal Aris


Kampar: Lelaki yang juga ketua kumpulan curi kereta dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi empat kereta di sebuah bengkel di sini, pada 9 November lalu.

Lelaki dikenali sebagai S Mathekumar, 33, yang alamat terakhirnya di Taman Bandar Baru, Ipoh, adalah ketua 'Geng Mathe' yang aktif mencuri kereta di kawasan Kampar.

Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai terdiri daripada lima ahli kumpulan dan dua daripadanya ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dua suspek yang diberkas adalah lelaki berusia 30 serta 23 tahun dan hasil soal siasat terhadap mereka berjaya mengenal pasti ketua kumpulan berkenaan.

"Tangkapan pertama dilakukan pada hari kejadian di Jalan Tronoh Mines, di sini, kira-kira dua jam selepas mangsa (pemilik bengkel) membuat laporan, manakala seorang lagi ditahan pada Selasa lalu.

"Setakat ini, seorang lelaki dikehendaki bagi membantu siasatan yang dipercayai ketua kumpulan ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 05-4652222 atau membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, hari ini.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama, polis turut merampas sebuah daripada empat kereta yang hilang dan seunit telefon bimbit serta peralatan mencuri kereta seperti pemotong besi, parang, pisau, pengumpil dan tiga bateri kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 3:14 PM