JIWANYA sudah tiada dalam industri seni.
JIWANYA sudah tiada dalam industri seni.
Amirul Haswendy Ashari


Biarpun jarang muncul di televisyen, penyanyi dangdut, Shikin Dahalan, 36, tetap sayangkan industri seni. Tapi, perasaan sayangnya itu hanya ‘sebelah kaki’ sahaja kerana ‘sebelah kaki’ lagi menanti masa untuk melangkah keluar daripada bidang itu.

Shikin atau Aishah Dahalan akui bila-bila masa saja dia akan keluar daripada bidang ini sebab separuh jiwanya sudah pun berada di tempat lain.

“Saya tiada hak untuk beritahu bila akan tinggalkan industi sebab itu semua hak dan ketentuan Allah. Ada artis tetapkan lagi lima atau 10 tahun mereka akan bersara tapi kita tidak tahu sampai bila kita akan hidup.

“Oleh sebab itu, saya tidak boleh berjanji sampai bila jangka hayat saya dalam bidang seni ini,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Yang... Yang...berkata, walaupun separuh jiwanya sudah tiada lagi dalam industri seni, dia tetap teruskan kerjaya dalam bidang itu di belakang tabir.

Pada masa ini kudratnya banyak digunakan untuk membantu rakan artis dan mengurus persatuan. Terbaru sebagai Timbalan Setiausaha Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) yang ditubuhkan dua minggu lalu.

Selain itu, sesekali dia turut menyumbangkan suara untuk beberapa projek single dan album tempatan.

“Projek terbaru, saya ke Bandung, Indonesia selama dua minggu untuk rakaman album khas untuk Biro Tatanegara bersama beberapa pelajar Aswara (Akademi Seni Warisan Kebangsaan) awal Jun ini.

“Ia projek album patriotik mengandungi 20 lagu yang diberi nafas baru dari segi susunan muzik,” katanya.

Dari segi jemputan persembahan, Shikin akui masih lagi mendapat undangan pada hujung minggu. Pun begitu, sejak mula berhijab awal tahun ini, dia agak membataskan pengisian persembahan, bersesuaian dengan penampilannya kini.

Katanya, tidak ramai yang tahu terutama penganjur mengenai penampilan barunya sehingga ada antara mereka masih mahu dia menghiburkan penonton dengan lagu rancak dan bergelek.

Katanya, apabila ada permintaan sebegitu, dia perlu perjelaskan kepada mereka (penganjur) dan jika tidak dapat terima, dia terpaksa menolak tawaran itu dengan baik.

“Malah sesi selfie dengan peminat pun saya perlu bataskan kepada Muslimat (wanita) saja. Jika ada dari pihak Muslimin (lelaki), saya perlu tolak.

“Ada juga yang pertikaikan perbuatan ini, alasannya saya masih menyanyi padahal ia juga aurat seorang wanita. Saya bukan wanita sempurna dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbetulkan.

“Sebab itu saya katakan, sebelah kaki sudah pun berada di luar, sebelah lagi di dalam. Hanya tunggu masa saja untuk bersara terus dari bidang ini. Masalahnya, belum lagi,” katanya.

Alasan penyanyi itu belum bersedia untuk terus keluar melangkah kaki daripada bidang hiburan ialah faktor kewangan dan bisnes yang diusahakan belum lagi kukuh.

Katanya, dia juga pernah ditawarkan mengurus spa kecantikan, apatah lagi dia pernah mendapat sijil pengkhususan bidang itu sebelum ini tapi belum memberi kata putus.

Dalam pada itu, kata Shikin dia pernah menyuarakan hasrat untuk kembali dengan single dan ada berhubung dengan penyanyi dangdut legenda, Iwan.

Tapi sebaik saja dia bercerita mengenai situasinya kini, Iwan mengesyorkan Shikin untuk kekalkan istiqomah dalam mencari reda Allah.

“Saya sebenarnya perlu jadi contoh untuk anak yang semakin membesar. Anak sulung saya, Qistina Balqis sudah pun masuk usia belasan tahun dan mulai matang.

“Anak kedua saya, Muhammad juga perlukan perhatian seorang ibu. Oleh sebab itu, segala keputusan yang saya lakukan perlu fikirkan masa depan mereka,” katanya.

Shikin kini bahagia dengan perkahwinan kedua bersama Jeffry Juhary dan pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Muhammad Jafri Hattar, 10 bulan.

Perkahwinan pertama Shikin dengan Ahmad Zuki Zain berakhir tiga tahun lalu dan mereka dikurniakan anak perempuan, Qistina Balqis, 11.

Mengenai projek baru, selain rakaman album patriotik, dia juga bakal merakam album single bersama artis dangdut lain. Ia antara projek jangka panjang yang dirancang Bintang untuk semua ahli/artis dangdut yang bernaung di bawah persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:02 AM