Cat dan Shikin bersama anak Shikin, Arianna.
Cat dan Shikin bersama anak Shikin, Arianna.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish mengakui sedang berkawan rapat dengan kakak kepada pelakon, Emma Maembong iaitu Shikin.

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli berkata, bibit perkenalan antara mereka mula terjalin ketika sama-sama membuka gerai jualan di karnival Starvendors, baru-baru ini.

"Kami mula rapat dan berkenalan dengan lebih dekat pada penghujung Ramadan lalu ketika berniaga di karnival Starvendors.

"Kami selesa untuk berkenalan dengan lebih dekat apabila anak sulung, Nia Karlyssa yang rapat dan serasi dengan anak perempuan Shikin iaitu Arianna.

"Nia turut menerima kehadiran Shikin. Itu yang membuatkan saya terpikat serta ingin mengenalinya dengan lebih rapat lagi," katanya.

Cat berkata, persahabatan anak-anak yang menyatukan hubungannya dengan Shikin yang juga ibu tunggal kepada seorang cahaya mata.

Cat yang baru saja mengalami kegagalan rumah tangga buat kali kedua pada Januari lalu berhasrat untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya.

"Umur saya bakal menginjak 50 tahun dan saya bukan remaja lagi hendak bercinta lama-lama. Jadi, saya akan berjumpa dengan keluarga Shikin untuk meminta kebenaran berkahwin.

"Sebaik keluarganya bersetuju, kami akan membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Kami tidak mahu terjerumus dengan dosa dan tidak mahu orang lain juga berdosa kerana memfitnah kami," katanya.

Sebelum ini, Cat mendirikan rumah tangga dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020 tetapi bercerai pada Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Cat juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli namun bercerai pada April 2016. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15; Eva Latheefa, 13; dan Qul Iskandar,12.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 tetapi bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudiannya berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020 namun bahtera yang dibina berakhir selepas dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 12:50 PM