FABRIK nipis dan beralun menjadi keutamaan bagi koleksi musim panas di Topshop kali ini.
FABRIK nipis dan beralun menjadi keutamaan bagi koleksi musim panas di Topshop kali ini.
Nor Faizah Mohamed


Santai, kemas dan selesa sudah cukup untuk menggambarkan koleksi menarik Topshop bagi musim ini.

Selain itu, elemen moden dan elektik menjadi antara daya penarik dalam koleksi ini apabila siluet feminin diberi sentuhan minimalis tanpa berkompromi dengan kualiti fabriknya.

Padanan unsur feminin itu menggerakkan lagi penampilan wanita muda yang ‘chic’ kala bercuti di pulau peranginan.

Kebanyakan rekaannya tertumpu pada gaun longgar yang dipadankan bersama aksesori ringkas seperti tali pinggang, topi dan sandal.

Tidak ketinggalan gaun pendek rona tanah diberi perincian labuci yang nyata sesuai digayakan untuk acara malam.

Majoriti pilihan warnanya lebih menjurus kepada palet polos dan menggunakan rona alam seperti putih, biru, kuning air dan perang.

Meskipun rata-rata koleksi ini berteraskan gaun dan kemeja-T, disediakan juga beberapa rekaan jaket ulitarian dalam cetakan kamoflaj.

Jaket varsiti turut diperkenalkan dalam musim ini yang menggunakan material sederhana nipis untuk keselesaan berpanjangan.

Tidak ketinggalan aksesori penting musim bunga seperti kaca mata hitam, beg tote dan beg sandang yang mudah dipadankan dengan apa jua gaya.

Sesekali himpunan ini diselangi gaya sporty dengan pilihan warna polos yang menjadi titik tumpuan pada kemeja atau ‘sweatshirt’ dalam corak ringkas.

Seperti apa yang ditekankan dalam koleksi Topshop sebelum ini, fesyen itu adalah sesuatu yang subjektif dan sedikit unsur keberanian perlu disuntik pada penggayaan pakaian agar ia dapat membantu memperlihatkan personaliti si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM