MURA bakal mencabar Adenan di DUN Tanjung Datu
MURA bakal mencabar Adenan di DUN Tanjung Datu
Mohd Aidil Abdullah


Kuching: Parti Reformasi Negeri (STAR) mencalonkan Mura Kadir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) bagi menentang Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Pencalonan Mura, 64, yang juga bekas penjawat awam itu diumumkan Presiden STAR Lina Soo, malam tadi.

Lina berkata, STAR akan mencuba sebaik mungkin untuk mencabar Adenan di kerusi Tanjung Datu, walaupun menyedari ia bukan tugas mudah.

"Kami sudah memberi amaran kepada Mura bukan tugas mudah bertanding di kerusi ini, tetapi beliau tetap berani untuk teruskan hasrat itu.

"STAR merancang untuk bertanding di 30 kerusi DUN pada PRN-11 ini, itu pun jika kami boleh mengumpul dana yang cukup," katanya pada sidang media di bilik gerakan parti itu.

Selain pencalonan Mura yang juga Timbalan Presiden STAR bertanding di Tanjung Datu, STAR juga sudah meletakkan calon bertanding di dua kerusi DUN di Kuching, iaitu Buln Ribos (Serembu) dan Teo Kwang Kim (Padungan).

Di Sibu, STAR mengesahkan bertanding di lapan kerusi DUN iaituWong Sing Wei (Bawang Assan), Mary Ting (Dudong), Moh Hiong Kiong (Bukit Assek), Priscilla Lau (Pelawan) dan Simon Tiong (Nangka).

STAR dijangka mengumumkan senarai penuh calon hari ini, termasuk manifesto pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 1:04 PM