AZIZUL Annuar Adenan. FOTO Bernama
AZIZUL Annuar Adenan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Azizul Annuar Adenan mahu dinilai berdasarkan kredibiliti sendiri dan bukan menumpang nama besar arwah bapanya,bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dalam usaha membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Penampilan sulung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember calon berusia 30 tahun itu tidak melihat faktor sebagai anak Ketua Menteri kelima itu sebagai kelebihan dalam kempen pilihan raya itu.

Menurutnya, beliau sudah lama menabur bakti untuk penduduk di Tanjong Datu dan bukan kerana anak kepada pemimpin utama parti dan wakil rakyat di Tanjong Datu.

"Saya sudah berkhidmat di kawasan N3 (DUN Tanjong Datu) sudah sekian lama dan menjadi Ketua Pemuda PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) pada 2018," katanya kepada Bernama.

Beliau, bagaimanapun tidak menafikan ada harapan yang tinggi menanti beliau jika menang pada PRN12 nanti.

Ramai pemerhati politik melihat faktor calon muda dan anak kepada individu yang pernah menjadi Ketua Menteri dari 2014 hingga 2017 sebagai kelebihan buat Azizul Annuar.

Ada juga pendapat pengaruh Adenan sememangnya cukup kuat di Tanjong Datu, sehinggakan GPS merasakan beliau adalah individu yang paling layak untuk meneruskan legasi bapanya, selain menghidupkan 'suara' golongan muda di DUN Sarawak.

Pada PRN11 pada 2016, Allahyarham Adenan, yang mesra disapa 'Tok Nan' menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu kerusi dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.

Susulan kematian Adenan pada 11 Januari 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu dipilih bertanding mewakili BN dan berjaya memenangi kerusi iti.

Azizul Annuar berdepan pertandingan empat penjuru pada PRN12.

Beliau ditentang calon Bebas Abdul Talip Ba'ee, Jery'in Fauzi mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Goem Pijar daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 12:01 PM