SUASANA di Dewan Masyarakat Lundu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
SUASANA di Dewan Masyarakat Lundu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lundu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jangka keputusan PRK DUN Tanjong Datu, diumumkan kira-kira 8 malam esok.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata ini kerana ada beberapa pusat mengundi ditutup awal kerana jumlah pengundi yang sedikit.

Menurutnya, semua peralatan proses pengundian sudah diserahkan kepada Ketua Tempat Mengundi di 16 pusat pengundian bagi kawasan Tanjong Datu.

"Sehingga ini, semua proses kempen berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini termasuk poster provokasi parti bertanding.

"Saya minta pengundi untuk keluar awal kerana MetMalaysia ramal cuaca tidak menentu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Proses Semakan Peti Undi di Dewan Masyarakat Lundu, di sini.

Esok, 9,771 pengundi akan membuang undi di 16 pusat pengundian membabitkan 25 saluran di DUN Tanjong Datu.

Ahad lalu, 162 daripada 188 pengundi awal yang mewakili 1.9 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan terdiri daripada tentera dan polis serta pasangan keluar membuang undi.

Barisan Nasional (BN) diwakili Puan Sri Jamilah Anu manakala Johnny Aput mewakili Parti Reformasi Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru diwakili Rapelson Richard Hamit.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung, pada 11 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 12:32 PM