ADY memukau dengan vokal yang bertenaga.
ADY memukau dengan vokal yang bertenaga.
Ridzuan Abdul Rahman


Sejarah panjang kumpulan Ukays selama 27 tahun menyaksikan pelbagai konflik dalaman hingga berlaku pertukaran anggota serta pengunduran penyanyi utamanya, Amir pada 1997.

Bukan itu saja, nama kumpulan itu kerap bertukar. Bermula dengan Ukay, Ukays dan U.K’S dan kini kembali kepada nama Ukays.

Tanpa Amir, perjuangan Ukays kini diteruskan oleh Amy (gitar) bersama dua lagi anggota asalnya iaitu Mohd Komanwel atau Well (gitar) dan Mohamad Ali (dram).

Mereka turut menampilkan penyanyi muda Ady dan dia mampu menyanyikan lagu Ukays yang bernada tinggi.

Bagi menghilangkan kerinduan peminat, Ukays menghasilkan album kompilasi berjudul U.K’S Kembali Berbisa pada 2011.

Album ini tidak menampilkan nyanyian Ady sebaliknya lagu popular nyanyian Amir antaranya Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Bila Purnama Mengambang dan banyak lagi.

Turut diselitkan ialah nyanyian Amy yang berduet dengan Yana menerusi lagu Aku Jatuh Cinta serta nyanyian solonya dalam lagu Lumrah Percintaan.

Lagu ciptaan Amy berjudul Lepaskanmu Kerna Terpaksa yang mencatat tontonan lebih tujuh di YouTube turut dimuatkan dalam album terbitan Amy di bawah syarikat Uk’s Records Entertainment.

Well berkata, mereka sudah merancang untuk kembali bergabung sejak empat tahun lalu, tetapi tergendala kerana pemain bass, Din jatuh sakit dan meninggal dunia pada 2014.

“Kami tak dapat kembali bergabung dengan Amir kerana dia sendiri pernah keluarkan kenyataan takkan bersama Ukays mahupun U.K’S.

“Selepas empat kali sesi uji bakat, kami akhirnya bertemu Ady. Pada mulanya agak sukar kerana peminat tak suka Ukays tanpa Amir. Kami ambil tindakan dedahkan Ady menyanyi di karnival dan syukur dia akhirnya diterima kerana suaranya memang mantap,” katanya.

Tak dibenarkan guna nama Ukays

Mengulas isu penggunaan nama Ukays, Amy berkata, mereka tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul.

“Kami turut dilarang menyanyikan lagu Ukays sedangkan ia dicipta untuk Ukays. Lagipun kami dapat kebenaran daripada Universal Music yang memegang hak lagu Ukays. Kami juga terima surat peguam yang melarang kami menyanyikan lagu Ukays untuk satu persembahan sehingga ia terpaksa dibatalkan.

“Mungkin kami akan buat semula persembahan itu pada Julai nanti. Selama 19 tahun tanpa album, apakah salah kami jumpa peminat?

“Kami bergerak jumpa peminat kerana nak imbas kembali zaman kegemilangan Ukays. Kalau Amir sayangkan Ukays kenapa dia keluar?

“Saya bawa Ukays bertemu peminat di karnival dan merata-rata lokasi bukan untuk menjatuhkan taraf Ukays tapi ia sebagai satu strategi pemasaran bagi menaikkan semula nama Ukays.

“Kami langsung tak terfikir nak bermusuh dengan Amir atau sesiapa dalam industri muzik. Amir menyertai Ukays ketika album kedua. Anggota asal Ukays ialah Well dan Ali,” kata Amy yang akan menghasilkan album terbaru berjudul Ukays Masih Berbisa pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, bagi meraikan ulang tahun ke-27 mereka, Ukays akan mengadakan persembahan khas bertempat di The Colonial Restaurant & Bar, Kuala Lumpur pada 2 April ini.

Maklumat lanjut sila layari Facebook Uk’s Records Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:12 PM