Tindakan komposer terkenal era 1990-an, Saari Amri memohom perintah mahkamah tidak membenarkan kumpulan Uk’s baru ditubuhkan semula Amy atau Azmi Hassan dan mendendangkan lagu ciptaannya sangat mengejutkan.

Kontroversi di antara kumpulan Uk’s dengan Saari kecuali penyanyi utamanya, Amir bukan baru. Malah sejak penubuhan semula Ukay kepada Ukay’s dan Uk’s, pel­bagai isu timbul.

Saari ketika dihubungi menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mengetahui ramai peminat marah apabila lagu popular Uk’s dinyanyikan Amy tidak menepati kualiti.

Selain itu, dakwaan anggota Uk’s dalam satu program infortainment bahawa Amir mening­galkan kumpulan berkenaan kerana mengikut Saari sangat melampau.

“Saya bukan buat tuduhan melulu. Orang ramai boleh melihat sendiri luahan kecewa yang dimuat naik peminat dalam YouTube dan Facebook apabila Amy tampil sebagai vokalis dan bukannya Amir.

“Sedangkan ketika memaklumkan kepada peminat Uk’s akan membuat persembahan, tidak dinyatakan pun Amir tidak lagi bersama mereka. Kebanyakan yang hadir menyaksikan persembahan itu berasa tertipu,” katanya.

Jelas Saari, dia masih boleh bersabar melihat aksi Amy menghulurkan mikrofon kepada penonton setiap kali menyanyikan lagu Uk’s bernada tinggi tetapi rasa marah tidak dapat dibendung lagi apabila anggota lama iaitu Ali dan Komenwel memberikan kenyataan mereka merana apabila Amir me­ngikutnya.

“Semua kesalahan dilakukan mereka sewaktu timbul konflik sehingga menyebabkan Uk’s terpaksa bertukar nama tetapi yang dipersalahkan adalah saya. Mereka melang­gar kontrak, saya yang disaman. Waktu itu disebabkan tidak mahu memanjang cerita dan turun naik mahkamah, maka saya diam­kan saja. Kalau ikutkan saya yang sepatutnya saman mereka,” kata Saari.

Tegasnya lagi, Amy tidak layak menjadi artis kerana tidak tahu menghormati kontrak dan menubuhkan semula Uk’s kerana mahu mengejar populariti.

“Penyanyi pertama Ukay, Epi memberitahu dia hanya dibayar RM50 apabila kembali bergabung dengan kumpulan yang ditubuh semula itu. Amy sudah kenakan dia. Lebih menyedihkan Amy yang tampil sebagai vokalis.

“Epi sangat marah dan kecewa dengan sikap Amy. Selain itu, Amy dikatakan sering mempermain-mainkan penonton dengan memberitahu penyanyi asal Uk’s tidak dapat datang kerana bapa­nya meninggal,” kata Saari.

Bukan itu saja, sikap Amy turut mengelirukan peminat apabila sebelum ini memaklumkan mahu menubuhkan semula Ukay tetapi barangan cenderahati yang dijual kepada orang ramai menggunakan nama Uk’s.

“Saya mengambil tindakan ini kerana tidak mahu peminat terus tertipu. Bagi saya Amy tidak berbakat langsung.

“Malah apabila mereka menuntut royalti lebih daripada kontrak ditandatangani, saya sudah jelaskan mereka tidak ada sumbangan besar terhadap Uk’s. Malah rakaman lagu dalam album sebelum ini pun menggunakan pemuzik jemputan, bukan mereka yang bermain muzik,” katanya.

Sambung Saari, dia tidak berniat menyekat rezeki bekas anggota Uk’s menubuhkan semula kumpulan itu tetapi janganlah memburuk-burukkan Amir dan dirinya.

“Sebab utama saya mengambil tindakan mahkamah adalah kerana menerusi laman sosial ramai peminat mengutuk apabila Amy menyanyikan lagu Uk’s ciptaan saya, habis rosak. Peminat marah.

“Malah saya terkilan apabila Epi mengadu mereka me­ngadakan persembahan di tempat ikan bakar. Mereka langsung tidak menjaga prestij kumpulan Uk’s.

“Itu belum lagi cakap soal bayaran. Saya dapat tahu Uk’s yang ditubuh semula itu menerima bayaran tinggi daripada penganjur tetapi anggotanya dibayar rendah. Saya bimbang sekiranya mereka tidak menjaga reputasi Uk’s lama kelamaan nama kumpulan itu akan busuk dan tidak lagi diminati termasuklah karya yang saya hasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:06 AM