ADY (kiri) ketika beraksi bersama Ukays.
ADY (kiri) ketika beraksi bersama Ukays.
Ridzuan Abdul Rahman


Ramai yang terkejut dengan tindakan penyanyi Ukays, Ady menyertai sesi uji bakat Mentor Milenia musim ini untuk menjadi protege kepada Tomok.

Begitu juga tindakannya bergerak solo menghasilkan single berjudul Pujaanku dan Rintihanku bersama syarikat muzik Dua Karya.

Ini menimbulkan kekeliruan kerana Ady atau nama sebenarnya Abdul Hadi Abdul Hamid dikenali sebagai penyanyi Ukays dan sering beraksi bersama kumpulan itu dalam mana-mana persembahan.

Ady, 22, ketika ditemui baru-baru ini, mendedahkan cerita sebenar sekali gus merungkai kekeliruan yang berlaku.

“Memang ramai yang bertanyakan soalan ini setiap kali bertemu saya. Memang saya sudah dua tahun bersama Ukays tapi tak pernah menandatangani sebarang perjanjian.

“Ini bermakna saya bukan hak mutlak mereka dan bebas menerima tawaran membuat persembahan secara solo,” katanya.

Bagaimanapun, Ady tidak mahu peminat tersalah anggap kerana dia tetap bersama Ukays sekiranya ada projek yang perlu dijayakan.

“Saya bukanlah jenis orang yang mudah lupa diri. Saya tak pernah lupa jasa Amy yang mencungkil bakat saya dan ‘membuka pintu’ sehingga dikenali peminat.

“Kami kekal bersama dan terbaru akan menjayakan Live Showcase Ukays pada 1 Disember ini di News KTV Ampang Park, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam,” katanya.

Ady berkata, banyak pengalaman yang diraih bersama Ukays. Bahkan dengan nama besar Ukays, secara tidak langsung tempias populariti turut dirasai olehnya.

“Bagi saya keserasian suara saya dengan lagu Ukays adalah anugerah Allah. Saya sendiri membesar dengan lagu Ukays.

“Cuma saya bukanlah penyanyi tetap mereka dan lebih selesa dengan cara sedia ada,” katanya.

Bercerita mengenai single Pujaanku, Ady berkata, lagu berkonsep pop rock era 1990-an ini dirakam pada tahun lalu di sebuah studio di Pulau Pinang.

“Lagu ini ciptaan Rizz Edisi dan lirik oleh Zam Meletop. Dua Karya ialah penerbit manakala pengurusan dan publisiti pula hasil kerjasama Padi Records dan Nova Music.

“Single ini mula dimainkan di radio dan setakat ini respons peminat sangat menggalakkan. Boleh dikatakan mereka dah kenal saya dengan lagu ini,” katanya.

Menurutnya, tawaran daripada Dua Karya dianggap sebagai pembuka ruang buatnya untuk terus memajukan diri sebagai penyanyi solo.

“Kedua-dua pihak mencapai persefahaman apabila Ukays menyokong dan memberi kebenaran buat saya menjadi artis Dua Karya.

“Manakala Dua Karya pula sentiasa memberikan kebenaran sekiranya saya perlu bersama Ukays untuk projek tertentu,” katanya.

Selepas dua single ini, Ady yang pernah menyertai pelbagai pertandingan antaranya Idola Kecil dan Bintang Remaja RTM, akan tampil dengan beberapa lagu lain pula bersama Dua Karya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 5:23 AM