FEEYA Iskandar.
FEEYA Iskandar.
Syanty Octavia Amry


Sering merakam nyanyiannya di laman Instagram (IG), penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar tidak menyangka diberi peluang merakamkan lagu hasil ciptaan Awi Rafael berjudul Hanya Satu.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Feeya tidak menolak rezeki itu dan teruja apabila dapat merasai pengalaman merakamkan lagu di studio. Lebih bermakna, dia berpeluang bekerjasama dengan Awi.

“Sejak kecil saya memang minat menyanyi. Ikutkan saya mahu jadi penyanyi, tetapi rezeki mengacara dan bertugas di radio yang datang dulu.

“Syukur impian bergelar penyanyi akhirnya dapat direalisasikan apabila berpeluang menyanyikan lagu ciptaan Awi dan menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Universal Music.

“Apa pun saya tidak meletakkan harapan tinggi dan bersedia menerima apa juga reaksi orang ramai.

“Sekurang-kurangnya komen yang diberikan boleh jadi pembakar semangat untuk saya buat lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Bakal mendirikan rumah tangga pada Mei ini, Feeya tidak berasa tertekan kerana promosi lagu yang dilakukaan saat ini adalah waktu yang sesuai.

Harapannya semoga apa yang diusahakan itu berjalan lancar, sekali gus membuka laluan kepadanya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni.

“Saya sedar tarikh rangka promosi single ini dengan majlis pernikahan saya agak dekat. Namun, tak ada masalah kerana segala urusan persiapan hari bahagia saya, perancang perkahwinan yang buat.

“Jadi, bolehlah saya fokus mempromosikan Hanya Satu,” katanya.

Masih bertugas sebagai deejay Sinar FM, Feeya tidak gusar andai lagunya itu tidak dimainkan di stesen radio lain.

“Saya bersedia dengan segala kemungkinan. Saya yakin masih ada radio yang sudi memainkan lagu saya.

“Selain itu, saya dan pasukan akan terus gigih mempromosikan lagu ini di laman sosial,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 10:42 AM