AWI ketika membuat persembahan , baru-baru ini.
AWI ketika membuat persembahan , baru-baru ini.
Syanty Octavia Amry

Lagu yang dihasilkannya tidak pernah mengecewakan, malah karya penyanyi Awi Rafael sering mendapat perhatian dan menjadi siulan.

Semakin ligat menghasilkan lagu untuk ramai artis, Awi berkata, dia tidak pernah memilih untuk menghasilkan lagu buat artis popular saja.

Sebaliknya, dia menyedari setiap orang mempunyai bakat tersendiri, malah yakin lagu yang diberikan sesuai dengan suara artis terbabit tidak kira mereka artis baru atau sudah ada nama.

“Setiap orang perlu diberi peluang. Apabila saya menghasilkan sesebuah lagu, saya akan memastikan ia sesuai dan kena dengan suara artis berkenaan.

“Saya bukanlah orangnya yang hanya memilih artis popular untuk menyanyikan lagu ciptaan saya. Pada saya jika mereka berbakat dan suara kena dengan lagu apa salahnya saya memberi peluang.

“Seperti saya memberi lagu kepada Datuk Siti Nurhaliza begitu juga saya memberi lagu kepada Feeya Iskandar.

“Mungkin dia bukanlah penyanyi kerana lebih dikenali sebagai penyampai radio dan pengacara tetapi apabila menghasilkan lagu untuknya saya lihat ia sangat kena serta sesuai dengan suara Feeya,” katanya.

Baru saja melancarkan restoran yang diberi nama Timbre di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur, Awi bekerjasama dengan rakan baik dan memberi fokus menguruskan persembahan penyanyi di situ.

“Saya bermula sebagai penyanyi di restoran, apabila adanya restoran ini saya berharap lebih banyak lagi peluang diberikan kepada mereka yang berbakat tetapi tiada tempat.

“Justeru, Timbre adalah tempatnya untuk mereka berkarya menunjukkan bakat nyanyian kepada orang ramai.

“Saya bekerjasama dengan Timbre kerana ia adalah satu syarikat yang sudah lama ditubuhkan di Singapura.

“Malah sudah tujuh cawangan berdiri kukuh di sana. Harapan saya dengan adanya Timbre di sini akan memberi lebih banyak peluang kepada penggiat seni,” katanya.

Berkongsi perkembangan seninya, Awi berkata dia bakal tampil dengan single baru tidak lama lagi. Selain itu, dia turut tampil dengan lagu Manusia Sempurna versi acapella.

“Insya-Allah banyak perancangan sudah saya atur tahun ini. Selain single baru saya juga akan melancarkan artis di bawah naungan syarikat saya iaitu Runaway Productions tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:19 AM