ATIKAH meminta netizen menghentikan kecaman Awi. FOTO/ATIKAH SUHAIME IG
ATIKAH meminta netizen menghentikan kecaman Awi. FOTO/ATIKAH SUHAIME IG
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Singapura Atikah Suhaime, 28, meminta supaya netizen menghentikan kecaman terhadap bekas tunangnya yang juga penyanyi, Awi Rafael.

Atikah menerusi tiga rakaman video yang dimuat naik di Instagram semalam berkata, sepanjang tempoh setahun mereka bertunang, Awi menjaganya dengan baik.

“Terima kasih atas sokongan dan doa anda yang membuatkan saya menjadi lebih kuat. Tentunya saya bersedih dengan apa yang berlaku. Namun, lebih menyedihkan apabila ramai yang mengecam dia (Awi).

“Anda tidak mengenalinya seperti saya mengenalinya. Dia menjaga saya dengan baik sebagai tunang, dia menjaga keluarga dan juga nama saya.

Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime berkata, dia tidak menyalahkan bapanya yang bertindak mengeluarkan kenyataan balas terhadap Awi.

“Saya juga tak salahkan bapa saya yang bertindak begitu. Saya percaya, dia tahu apa yang terbaik untuk anaknya dan saya berterima kasih kepadanya,” katanya.

Menurut pelakon dari Singapura itu, tiada sesiapa yang patut dipersalahkan atas pembatalan majlis perkahwinannya dengan Awi yang sepatutnya berlangsung esok.

“Tiada sesiapa yang patut dipersalahkan. Hentikan semua kebencian. Ini adalah takdir dan kami kami terima yang kami tidak ditakdirkan untuk bersama,” katanya.

Dalam potongan video terakhir, Atikah mengajak semua pengikut di Instagram yang menonton videonya untuk terus menyebarkan kasih sayang.

“Teruskan untuk sebarkan rasa cinta dan karya muzik yang bagus. Saya sayangkan kalian. Terima kasih,” katanya.

Kelmarin, Awi memuat naik video di Instagram memaklumkan bahawa perkahwinannya dengan Atikah terpaksa dibatalkan.

Awi berkata, dia sudah melakukan yang terbaik buat Atikah dan keluarga, malah persiapan perkahwinan juga sudah disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:23 AM