WINNIE
WINNIE
TERUJA hasilkan lagu untuk Tahun Baru Cina.
TERUJA hasilkan lagu untuk Tahun Baru Cina.
Oleh Syanty Octavia Amry


WALAUPUN wajahnya sudah jarang kelihatan menghiasi media, penyanyi Winnie K masih ligat dan aktif di pentas nyanyian.

Winnie K baru saja melancarkan album sempena Tahun Baru Cina yang akan datang ini.

Album berjudul Lebih Bertuah yang memuatkan lapan lagu berbahasa Cina itu adalah album lagu Tahun Baru Cina pertama dihasilkan penyanyi berusia 37 tahun itu.

Berkongsi mengenai album berkenaan, Winnie berkata, selepas lebih 20 tahun dalam bidang seni, kini baru dia berpeluang tampil dengan album berkenaan.

“Album ini sangat istimewa dan sebab itu saya mengambil masa lama untuk menghasilkannya. Jika selama ini saya sering menyanyikan lagu raya milik orang lain, tetapi sekarang saya sudah ada lagu sendiri.

“Peminat juga sering bertanya bila saya akan tampil dengan lagu raya sendiri? Malah, ibu saya juga teringin melihat saya ada lagu raya sendiri. Atas sokongan dan doa ibu serta peminat terhasil album ini untuk mereka,” katanya.

Winnie berkata, disebabkan jarang muncul di media, ramai menyangka dia sudah bersara malah ada yang beranggapan dia sudah mendirikan rumah tangga.

Winnie berkata, dia masih aktif dan sering membuat persembahan di majlis makan malam.

“Saya belum berkahwin dan masih aktif menyanyi cuma kurang mendapat pendedahan di media, mungkin kerana tidak ada cerita baharu yang hendak dikongsikan.

“Namun, saya bersyukur dan gembira undangan nyanyian tidak pernah putus saya terima malah saya juga sering diundang menyanyi hingga ke China dan Australia,” katanya.

Berkongsi mengenai lakonan, Winnie yang pernah berlakon dalam filem Potret Mistik pada 2005 mengakui rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran, namun kekangan masa terhadap nyanyian membuatkan dia terpaksa melupakan hasrat itu.

“Saya teringin hendak kembali berlakon, tetapi jadual nyanyian yang padat membuatkan saya tidak berpeluang melakukannya.

“Ada beberapa tawaran berlakon drama memerlukan saya sebagai watak utama, namun terpaksa saya tolak kerana ia mengambil masa yang lama hingga berbulan di lokasi penggambaran,” katanya.

SIBUK jayakan undangan menyanyi hingga luar negara.
SIBUK jayakan undangan menyanyi hingga luar negara.

BERSEDIA TAMAT ZAMAN BUJANG

Dengan usia menginjak 37 tahun, sebagai wanita pastinya waktu ini Winnie berharap kehidupannya sama seperti wanita lain yang mempunyai suami dan anak-anak.

Namun, perancangan Tuhan itu adalah lebih baik kerana Winnie masih diberi peluang menjaga ibunya yang kurang sihat disebabkan hanya dia yang belum berkahwin.

“Dua kakak saya sudah berkahwin dan sibuk menguruskan keluarga. Bapa pula sudah lama meninggal dunia dan sekarang saya yang perlu menjaga dan menemani ibu.

“Walaupun ada pembantu yang menguruskan ibu, tetapi saya akan menjaga sama jika tidak sibuk atau ke luar negara. Mungkin disebabkan kesibukan ini saya tiada masa memikirkan soal rumah tangga,” katanya.

Winnie berkata, pengalaman gagal bercinta sebanyak lima kali tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia yakin satu hari nanti akan bertemu lelaki yang baik, bertanggungjawab dan menerima dirinya seadanya. Dia juga tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki yang berbeza agama dan bangsa.

“Saya tidak serik malah berharap sempena tahun baru akan segera bertemu cinta dan pasangan hidup. Ibu juga tidak menghalang jika saya menukar agama untuk berkahwin dengan lelaki yang saya cintai apa yang penting dia mahu lihat saya bahagia.

“Dalam pada sedang melalui perasaan ini saya turut teruja apabila single lagu Melayu baharu saya juga ada kena-mengena di mana tajuknya ialah Ku Mencari Cinta,” katanya.

SIBUK jayakan undangan menyanyi hingga luar negara.
SIBUK jayakan undangan menyanyi hingga luar negara.

Berkongsi mengenai lagu Ku Mencari Cinta yang dicipta Awi Rafael, Winnie berkata, dia sudah lama menantikan lagu daripada Awi.

“Lagu itu sudah siap liriknya dan saya akan ke studio untuk merakamkan lagu berkenaan selepas Tahun Baru Cina.

“Saya akui sangat teruja kerana lagu itu ada kena-mengena dengan kehidupan saya sekarang ini dan terasa ia sangat dekat di jiwa,” katanya.

Selain Ku Mencari Cinta, Winnie pernah tampil dengan beberapa lagu Melayu antaranya Kau Ada Di Mana pada 2008 dan Cukuplah pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 5:30 AM