AKTIVITI landskap pertanian bandar anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya oleh penduduk-penduduk PangsapurGarnet di Puchong Perdana Selangor.
AKTIVITI landskap pertanian bandar anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya oleh penduduk-penduduk PangsapurGarnet di Puchong Perdana Selangor.
KAWASAN lapang pangsapuri dijadikan kebun sayur.
KAWASAN lapang pangsapuri dijadikan kebun sayur.
RAMZI (dua dari kiri) berbincang dengan penduduk Pangsapuri Garnet.
RAMZI (dua dari kiri) berbincang dengan penduduk Pangsapuri Garnet.
AHMAD Fauzi membersihkan para tanaman.
AHMAD Fauzi membersihkan para tanaman.
RAMZI (empat dari kiri) berbincang dengan penduduk Pangsapuri Cendana.
RAMZI (empat dari kiri) berbincang dengan penduduk Pangsapuri Cendana.
POKOK betik hidup subur.
POKOK betik hidup subur.
PENDUDUK Pangsapuri Garnet membetulkan tanaman sayuran.
PENDUDUK Pangsapuri Garnet membetulkan tanaman sayuran.
Oleh Mohamad Hussin


Pertanian bandar (urban farming) atau aktiviti berkebun bukan berasaskan keuntungan yang diamalkan di negara maju memberi nilai tambah kepada masyarakat kota.

Kini konsep itu semakin diterima di negara ini bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan berikutan peningkatan kos sara hidup.

Aktiviti berkebun ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan perbelanjaan dapur dengan menggunakan hasil tanaman mereka.

Penulis berkesempatan melihat aktiviti Kebun Komuniti inisiatif Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui komuniti setempat di bawah pentadbirannya.

Penolong Pengarah Landskap, Jabatan Landskap MPSJ, Ramzi Mohamed Lazim berkata, program Kebun Komuniti diluluskan MPSJ pada Julai 2013 dan dilancarkan di tapak pertama di Pangsapuri Garnet, Puchong, pada 3 Oktober 2013.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 20 komuniti terbabit iaitu empat komuniti perumahan bertingkat manakala selebihnya perumahan teres dan banglo.

“Bagi kumpulan masyarakat yang perlu dibantu, MPSJ menyediakan tapak, tanah dan struktur plot asas. Benih pokok peringkat pertama turut diberikan.

“Bagi kumpulan masyarakat yang berdaya saing serta mampu, mereka dibenar melaksanakan sendiri dengan syarat ditetapkan.

“Bagaimanapun, MPSJ bercadang meneruskan insentif ini sekali saja sebagai pengenalan. Selepas tempoh itu, program diteruskan dengan inisiatif kumpulan masyarakat sendiri di bawah kebenaran dan penguatkuasaan,” katanya.

Ramzi berkata, program Kebun Komuniti MPSJ adalah aktiviti perkebunan oleh kumpulan masyarakat yang menghargai ruang taman.

“Ia mendidik amalan berkebun secara mampan, membina semangat kemasyarakatan di kawasan bandar selain menjadi sumber bekalan hasil pertanian bagi kegunaan sendiri.

“Konsep seperti ini juga dilaksanakan bagi menghijau dan mengindahkan kawasan persekitaran perumahan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, cabaran dalam melaksanakan Kebun Komuniti ialah bagi mendapatkan kumpulan masyarakat yang benar-benar menginginkan aktiviti itu dan komited menjayakannya.

“Cabaran juga bagi mendapatkan ‘ketua’ dalam kalangan penduduk yang dipercayai dan boleh diharapkan untuk memandu kumpulannya dengan pemantauan minimum oleh MPSJ.

“Membentuk kerjasama dengan kumpulan masyarakat dan menyerahkan tanggungjawab bagi memastikan persekitaran terpelihara adalah satu tuntutan yang memerlukan kredibiliti penduduk.

“Antara halangan ialah lokasi kebun jauh dari rumah penduduk menyebabkan mereka tiada masa ke kebun, kekurangan sumber air, cuaca panas dan tempoh cuti panjang menyebabkan penduduk mengabaikan kebun mereka,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Kebun Komuniti Pangsapuri Garnet, Puchong Indah, Mohd Rezal Hashim, 44, berkata, penduduk menyambut baik langkah MPSJ mewujudkan program berkenaan.

“Ia dapat membantu mengeratkan hubungan sesama penduduk apabila bekerjasama di kebun. Di sini masing-masing dapat memberikan idea mengenai sesuatu tanaman yang hendak ditanam.

“Sejak pembukaan kebun ini, kami sudah menanam pelbagai sayuran dan herba untuk kegunaan penduduk. Antaranya bendi, kacang panjang, sawi, timun, daun kunyit, ulam raja, kubis, serai, cili padi, belalai gajah dan sebagainya.

“Aktiviti ini sangat baik dan perlu diteruskan sampai bila-bila. Walaupun penduduk diberikan plot tanah masing-masing, kami boleh bertukar tanaman yang diusahakan,” katanya.

Penduduk, Rohani Ibrahim, 53, menanam pelbagai jenis sayuran dan herba, antaranya pokok meranti, daum kesum dan cekur.

“Sejak membabitkan diri di kebun ini, saya dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur kira-kira 20 peratus. Kos sara hidup yang makin tinggi membebankan saya sekeluarga,” katanya.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Pangsapuri Cendana Chengal PKNS, Seri Kembangan, Mohd Farid Mohd Nasir, 56, berkata, kerjasama penduduk antara faktor kejayaan Kebun Komuniti di kawasan itu.

“Aktiviti berkebun bukan saja untuk bercucuk tanam, malah penduduk dapat berkumpul walaupun masing-masing sibuk bekerja,” katanya.

Ahmad Fauzi Sharif, 49, yang bekerja di Universiti Putra Malaysia (UPM) banyak membantu penduduk mengenai asas tanaman sayuran termasuk pemilihan baja dan benih.

“Pengalaman saya dapat membantu jiran yang tidak pernah bercucuk tanam. Malah, mereka yang tiada asas pun kini menunjukkan minat untuk bercucuk tanam,” katanya.

Suri rumah, Zarinah Mohd Sabrun, 51, berkata, setiap kali hendak memasak, dia akan memetik saja sayuran di kebun berkenaan.

“Saya dapat jimatkan belanja dapur kerana di kebun ini ada semua jenis tanaman yang kita makan. Tidak perlu lagi ke kedai semata-mata mahu membeli daun kari atau kunyit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 11:29 AM