ANAK turut serta berkebun pada waktu lapang.
ANAK turut serta berkebun pada waktu lapang.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kerap kali melihat hasil tanaman wanita ini menerusi laman Facebook. Semuanya segar, meriah dan cukup mengujakan. Apa saja yang disemai mudah menarik perhatian.

Susun atur tanaman yang diusahakan juga menarik. Namun, hal yang paling menyeronokkan adalah warna-warni hasil tanaman yang diusahakan Nor Mariana Abdullah, 40.

Kata anak kelahiran Sarawak ini, dia mempunyai banyak hobi, namun paling suka dengan aktiviti berkebun. Malah, tugasnya sebagai Penolong Pegawai Farmasi di Sri Aman tidak mengekang minatnya untuk bercucuk tanam.

“Biasanya, awal pagi selepas menghantar anak ke sekolah, saya berkebun sekejap. Saya akan luangkan masa kira-kira setengah jam untuk menyelenggara kebun, menyembur cecair kawalan serangga organik.

“Memandangkan saya menggunakan kaedah tanaman nutripot, jadi perlu sentiasa pantau paras larutan air baja supaya ia mencukupi. Siap berkemas, barulah saya pergi kerja,” katanya.

Jelas Nor Mariana, dia tidak pernah jemu meluangkan masa kira-kira sejam lagi selepas pulang dari pejabat untuk menyambung kerja di kebun. Sementara waktu lapang diperuntukkan ke gimnasium untuk rutin kecergasan.

“Saya sebenarnya banyak terbabit dalam aktiviti sukan seperti bola tampar. Jadi, masa terluang terpaksa dibahagikan untuk aktiviti sukan dan berkebun.

“Kalau hendak diikutkan, aktiviti berkebun ini asalnya timbul dari nekad untuk merawat ‘tangan panas’. Kalau dulu, memang tak pernah menjadi setiap kali bercucuk tanam. Kebetulan saya berkenalan dengan ramai rakan Facebook Tangan Hijau, jadi minat dan semangat untuk mencuba kian mendalam.

“Saya mencuba pelbagai cara dari menanam menggunakan tanah sehingga secara nutripot. Berbekalkan tip sahabat dan kenalan, sedikit demi sedikit usaha saya membuahkan hasil.

“Biarpun tidak sehebat mana, ia cukup membuatkan saya jatuh cinta dengan dunia bercucuk tanam. Saya pilih kaedah tanaman nutripot kerana ia serasi dengan jadual kerja, selain kawasan kebun yang agak kecil dan kekangan masa terhad,“ katanya.

Menurut Nor Mariana, dia begitu teruja kerana hasil tanaman sayurnya kini sudah mampu memenuhi keperluan harian rumah.

“Tak perlu membeli lagi. Anak-anak pun saya ajak sekali berkebun. Apabila mereka tanam sendiri sayur, secara tidak langsung anak-anak tertarik untuk makan hasil titik peluh sendiri.

“Kebun di dapur pun tidaklah sebesar mana, jadi saya susun semua pasu di penjuru dan kawasan tepi garaj,” katanya.

TERSUSUN kemas.
TERSUSUN kemas.

Kata Nor Mariana, dia bermula pada awal 2014 dengan tanaman kekacang, sayur berbuah, kubis, beberapa jenis sawi, cili dan herba masakan.

“Pendek kata, semua tanaman saya untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur. Setakat ini, memang hasilnya membantu mengurangkan belanjawan.

“Saya tidak perlu membeli. Kalau hendak memasak, petik saja apa yang mahu di tepi rumah. Untuk menjimatkan ruang, saya tanam sayuran yang kami sekeluarga makan saja.

“Jika hasil tanaman menjadi, saya akan bawa sedikit ke pejabat untuk disedekah kepada kawan sekerja atau berkongsi dengan jiran-jiran,” katanya.

Kata ibu kepada dua anak ini, kepuasan berkebun sukar diungkap dengan kata-kata. Selain seronok menikmati hasil, ia juga menjadi terapi sihat buat dirinya.

“Ada waktunya banyak tekanan kerja dan persekitaran. Namun, semuanya hilang kalau dibawa berkebun. Bagi yang biasa bercucuk tanam, mereka pasti tahu bagaimana perasaannya bercakap dengan tanaman.

“Pada masa sama, saya juga berpeluang menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak. Mereka suka bertanya mengenai khasiat sayur yang ditanam. Secara tak langsung, mereka juga dapat belajar,” katanya.

Alang-alang berkongsi ilmu berkebun, Nor Mariana berkata, dia juga menjadikan kawasan bercucuk tanam sebagai medan uji kaji.

“Saya banyak cuba menanam jenis tumbuhan dari luar negara untuk melihat sama ada boleh hidup atau tidak. Antaranya, kolhrabi dan swiss chard.

“Banyak cubaan setiap kali menyemai. Kalau menjadi, itu rezeki, Jika tidak, anggap saja ia pengajaran. Saya banyak merujuk merujuk kepada kawan-kawan dan Internet untuk panduan.

“Dalam tak sedar, sebenarnya kita boleh belajar banyak perkara luar biasa sepanjang bercucuk tanam,” katanya.

PELBAGAI jenis cili memeriahkan kebun.
PELBAGAI jenis cili memeriahkan kebun.

Tambah Nor Mariana, ada waktunya tiba juga musim tanaman tidak menjadi atau diserang perosak. Tetapi ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk menanam semula.

“Saya amalkan tanaman berperingkat supaya hasil kebun sentiasa ada. Selalunya hujung minggu saya akan peruntukkan masa sejam dua untuk menyemai dan memindahkan anak semaian ke dalam pasu.

“Manfaat berkebun ini selalunya saya kongsi bersama rakan media sosial. Biar jadi pembakar semangat untuk pekebun seperti saya yang mahu mengurangkan belanja dapur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:53 PM