Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Projek Kebun Komuniti Bandar yang dilakukan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Desa Petaling, di sini, disifatkan sebagai inisiatif terbaik dalam mengusahakan tanah terbiar.

Ia dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPWKL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menyediakan kawasan untuk bertani.

Tinjauan Harian Metro mendapati aktiviti terbabit bukan hanya dilakukan penduduk dewasa, malah kanak-kanak turut memanfaatkan hujung minggu dengan bercucuk-tanam di kebun seluas 0.61 hektar itu.

Pengerusi Kebun Komuniti Bandar PPR Seri Malaysia merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk (PPR Seri Malaysia) Nur Zaidy Maaini berkata, seramai 95 peserta terdiri dalam kalangan penduduk terbabit dalam program berkenaan.

Katanya, ia merangkumi 52 peserta kebun komuniti berkelompok, manakala 43 lagi bagi kategori individu.

"Tanah ini adalah kepunyaan JPS dan dulunya terbiar, penuh semak-samun dan menjadi sarang penagihan dadah serta lain-lain aktiviti tidak berfaedah.

"Kami kemudian diberi kepercayaan dan kebenaran untuk berkebun dengan syarat ia bukan tanaman jangka panjang seperti durian, nangka dan lain-lain lagi yang mengambil masa lama untuk berbuah.

"Justeru, bermula 23 Oktober lalu, kami mulakan kerja pembersihan dengan menebas semak-samun dan selesai pada 27 November lalu," katanya ketika ditemui di tapak projek Kebun Komuniti Bandar, di sini, hari ini.

Antara peserta projek di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Antara peserta projek di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH

Nur Zaidy berkata, terdapat 30 jenis tanaman sayur-sayuran dan herba diusahakan peserta di mana mereka terbabit secara sukarela tanpa bayaran.

Menurutnya, peserta terdiri pelbagai peringkat usia dan paling muda berusia empat tahun yang datang mengikuti neneknya sebelum timbul minat.

Katanya, peserta boleh datang bertani dan menguruskan tanaman mereka setiap hari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal

"Tanah projek ini dalam bentuk berteres dan setiap satunya mempunyai tanaman tertentu seperti cili, terung, tomato, kangkung, serai, pandan selain herba seperti misai kucing dan manjakani.

"Sebenarnya, kami ada perancangan untuk menjual hasil tanaman bagi menjana pendapatan dan berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa kerana mencetuskan idea ini sebagai usaha mewujudkan kebun bandar dalam Kuala Lumpur, katanya.

Sementara itu, suri rumah, Faridah Yahya, 57, mengakui seronok kerana dapat meluangkan masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan turut-serta dalam projek berkenaan.

"Sebelum ini saya membantu suami bercucuk-tanam di kebunnya yang terletak di Batang Kali, Selangor, tetapi kini lebih seronok kerana ada peluang mengusahakan tanaman di sini," katanya yang mengusahakan tanaman pak choy, bayam Brazil dan kacang panjang.

Peserta projek menyembur racun serangga organik di kawasan tanaman di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Peserta projek menyembur racun serangga organik di kawasan tanaman di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH

Peserta cilik, Mohd Alif Imran Mohd Azhar, 11, turut gembira kerana dapat bersama penduduk lain bercucuk-tanam di kebun berkenaan.

"Saya sendiri yang mahu turut sama dalam projek ini, bukan kerana galakan ayah atau ibu dan jadi seronok kerana ada rakan lain turut-serta," katanya yang tidak sabar menunggu hasil tanamannya iaitu timun, jagung dan pisang.

Manakala, pesara Musaddek Jafar, 60, menyifatkan projek kebun bandar komuniti sebagai inisiatif baik daripada KWPKL dan semua agensi yang membantu dalam melaksanakannya.

"Sebenarnya, projek ini memberi peluang kepada kami (penduduk terbabit) jadi lebih sihat dengan melakukan aktiviti bercucuk-tanam di kebun," katanya yang mengusahakan tanaman bayam, kacang bendi dan pak choy

Semalam, Annuar yang mengadakan lawatan ke tapak projek itu memaklumkan terdapat 21 lokasi program pertanian bandar di seluruh Kuala Lumpur, setakat ini.

Kementerian terbabit sedang mengenal pasti 52 lokasi lain dengan keluasan keseluruhan 27 hektar yang boleh diusahakan untuk program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 5:45 PM
Nur Zaidy Maaini menunjukkan jagung yang telah menunjukkan hasil di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Nur Zaidy Maaini menunjukkan jagung yang telah menunjukkan hasil di Kebun Komuniti Bandar, PPR Seri Malaysia. FOTO ASYRAF HAMZAH