NORASYIKIN bersama tanaman di kebun miliknya.
NORASYIKIN bersama tanaman di kebun miliknya.
Intan Mas Ayu Shahimi

Siapa kata laman media sosial lebih banyak membawa pengaruh negatif berbanding kebaikan dalam hidup? Pokok pangkalnya terpulang kepada diri sendiri.

Bagi Norasyikin Ab Hamid, 28, peluang menyertai komuniti berkebun di laman Facebook kira-kira dua tahun lalu menyemai minat dalam dirinya untuk belajar kaedah bercucuk tanam.

Bermula dengan tanaman mudah seperti kacang bendi dan cili, ibu kepada dua anak ini akhirnya jatuh cinta pada aktiviti berkebun dan giat bercucuk tanam di laman sehingga ke hari ini.

“Rutin saya tidak banyak beza dengan ibu lain. Pada sebelah pagi, saya menghantar anak ke sekolah, mengemas dan menyiapkan kerja rumah yang perlu. Selesai menguruskan keperluan, barulah saya turun berkebun.

“Biasanya, waktu lapang memang banyak dipenuhi dengan aktiviti di kebun. Saya membersihkan kawasan, mencabut rumput, membuang daun kering, menyemai anak pokok baru dan memindahkan hasil semaian ke tapak bersesuaian,” katanya.

ANAK-anak turut serta melakukan aktiviti di kebun.
ANAK-anak turut serta melakukan aktiviti di kebun.

Menurut Norasyikin, dia memilih untuk berkebun kerana minat yang mendalam selain berpuas hati melihat setiap usaha dan penat lelahnya membuahkan hasil lumayan setiap kali.

“Alhamdulillah, kebun kami agak luas kerana adanya kawasan tanah kosong di sekitar kediaman. Daripada dibiarkan semak tidak terurus, saya mengambil keputusan untuk mengusahakan tanah berkenaan dengan tanaman renek.

“Bagi saya, berkebun secara kecil-kecilan adalah satu daripada cabang aktiviti sihat buat seisi keluarga. Selain mengeluarkan peluh, kerjasama dan toleransi saat berkebun juga mampu mengeratkan kasih sayang. Anak-anak juga dapat belajar sesuatu yang baru.

ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.
ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.

“Paling penting, sejak berkebun, saya sendiri sudah jarang ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Saya hanya kutip sayur yang perlu di kebun jika hendak memasak. Dalam masa sama, saya juga dapat bersedekah dengan jiran tetangga dan dapat menjual sedikit hasil tanaman untuk simpanan ketika kecemasan,” katanya.

Jelas Norasyikin, sukar untuk digambarkan kepuasan yang diperoleh daripada aktiviti berkebun bersama keluarga. Malah dia sendiri cukup teruja setiap kali melihat semaiannya menjadi dan mengeluarkan hasil yang banyak.

ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.
ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.

“Bagi saya, selain tarikan daripada hasil tanaman, saya sebenarnya dapat belajar mengenai selok-belok pertanian dengan lebih mendalam. Saya mula memahami pengaruh cuaca pada setiap jenis tanaman, mengenal jenis tanah bersesuaian, baja, kaedah semaian dan banyak lagi ilmu berkaitan.

“Sekalipun sibuk dengan rutin di rumah, saya masih mempunyai masa untuk berkenalan dengan rakan media sosial yang mempunyai minat, hobi dan kecenderungan serupa. Mereka juga antara individu yang banyak berkongsi pandangan serta idea untuk bercucuk tanam.

“Kami saling bertukar anak benih untuk mencuba tanaman lain serta mencadangkan rakan-rakan yang menjual kelengkapan berkaitan,” katanya.

ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.
ANTARA sayuran segar dari kebun Norasyikin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:47 PM