Asij
Asij
Giron
Giron
Agensi

Guatemala City: Seorang pegawai tentera Guatemala yang sudah bersara dan seorang bekas anggota separa tentera dihukum penjara 120 dan 240 tahun kerana menjadikan sekumpulan wanita sebagai hamba seks ketika perang saudara di negara itu.

Keputusan berkenaan adalah kali pertama dibuat mahkamah terhadap tuduhan seperti itu di Guatemala yang kini berusaha mengadili jenayah yang dilakukan ketika era perang saudara pada 1960 hingga 1996.

Bekas pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda, Esteelmer Reyes Giron didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan mengurung 15 wanita sebagai hamba seks.

Giron juga didapati bersalah membunuh seorang wanita dan dua anak perempuan mangsa yang masih kecil.

Heriberto Valdez Asij, orang awam yang melakukan tugas tentera didapati bersalah atas tuduhan yang sama dan juga terbabit dalam kehilangan tujuh lelaki.

Hukuman penjara 120 dan 240 tahun yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh itu hanyalah simbolik kerana undang-undang Guatemala mengehadkan hukuman penjara kepada 50 tahun.

Orang ramai yang memenuhi mahkamah bersorak dan melaungkan slogan keadilan! keadilan! apabila keputusan dibacakan hakim.

Pengarah kumpulan hak asasi manusia Amnesty International Amerika, Erika Guevara-Rosas berkata, keputusan bersejarah itu memberi mesej jelas bahasa keganasan seksual adalah jenayah serius dan akan dihukum walaupun sudah lama berlalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:05 AM