CLARE BRONFMAN. FOTO AFP
CLARE BRONFMAN. FOTO AFP
AFP

New York: Pewaris syarikat minuman keras terkemuka Kanada, Seagram dijatuhi hukuman penjara lebih enam tahun atas pertuduhan berhubung skandal pemerdagangan manusia untuk seks yang dikaitkan dengan satu kultus.

Hukuman itu dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di sini, selepas tertuduh, Clare Bronfman, 41, yang mengaku salah atas pertuduhan berkenaan.

Bronfman pada tahun lalu mengaku salah atas pertuduhan berhubung penipuan kad kredit dan melindungi pendatang haram bagi kumpulan Nxivm, yang mana ketuanya, Keith Raniere didapati bersalah pada Jun 2019 kerana 'menyimpan' antara 15 hingga 20 hamba seks selama bertahun-tahun.

"Tidak diragukan bahawa Raniere tidak mampu melakukan jenayah berkenaan jika tidak mendapat kerana individu yang berkuasa seperti Bronfman," kata pihak pendakwaan.

Peguam wanita itu berhujah bahawa meskipun anak guamnya mengaku salah untuk pertuduhan melakukan penipuan kad kredit dan melindungi pendatang haram, tertuduh tidak mengetahui mengenai penderaan seksual yang dilakukan oleh Raniere.

Malah, pihak pembelaan berhujah bahawa wanita terbabit hanya mengetahui bahawa organisasi berpangkalan di New York itu hanya bertujuan untuk pendidikan bagi memperkasakan wanita.

Daripada enam yang dakwa berhubung skandal berkenaan yang terdedah pada 2018, Bronfman menjadi orang pertama yang dijatuhkan hukuman.

Hukuman terhadap Raniere akan diputuskan pada 27 Oktober ini.

Empat lagi sudah mengaku salah, termasuk aktres, Allison Mack dari siri 'Smallville' yang mengaku salah atas tuduhan melakukan aktiviti haram pada April 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 1:31 PM