Idea dekorasi sememangnya menjadi gambaran cita rasa pemilik kediaman itu.

Dekorasi sempurna juga adalah subjektif dan bergantung kepada kesesuaian dan sejauh mana ia melengkapi konsep yang dipilih.

Bagi pereka hiasan dalaman terkenal, Faizal Zain, masing-masing mempunyai keinginan untuk mengadaptasikan sentuhan tersendiri sebagai hadiah paling bermakna buat diri, keluarga dan tetamu.

"Kini, setiap individu yang memiliki kediaman berhak mendapatkan sentuhan dekorasi.

"Malah, saya berhasrat membawa sentuhan dekorasi ke satu tahap yang sama penting di dalam kehidupan seperti keperluan asas yang lain" kata pemegang ijazah rekaan dari Universiti Limkokwing.

Adaptasi keindahan pelbagai sudut dan ruang diketengahkan menerusi ruang pameran Zaldeco Inspirations.

Ruang terbuka yang membabitkan tata hias pada ruang tamu, ruang makan, ruang belajar dan ruang santai itu ditonjolkan menerusi idea hebat selari cita rasa anda.

"Setiap ruang ada seninya. Memahami dekorasi dan fungsinya pula antara kreativiti anda sebagai pemilik yang mengkagumi 'karya' yang memenuhi keperluan hidup masing-masing.

"Kita bebas menyusun atur dekorasi dan perkara paling utama ialah melihat kesesuaiannya dari pelbagai aspek," katanya.

Perkongsian idea hebat turut mengambil kira kepentingan penggunaan kertas dinding sebagai penyeri latar dinding.

"Letak saja kertas dinding, suasana ruang nyata berubah sepenuhnya. Bayangkan motif atau latar yang dipilih itu menggambarkan satu keunikan dan nilai eksklusifnya.

"Penggunaan elemen hiasan ini juga mampu mencipta dekorasi di luar kebiasaan," katanya.

Pilihan motif dan latar kertas dinding berbeza pada setiap ruang pula bukan satu yang menyakitkan pandangan.

Sebaliknya menjadi tarikan dan mencetuskan idea unik sekali gus memperlihatkan fungsi ruang yang berbeza.

Tanpa mengabaikan elemen pencahayaan, ruang pameran itu begitu mengujakan sebaik lampu hiasan disusun letak dalam reka bentuk menarik.

"Ia penting dalam membangkitkan aura ceria dan membuang jauh suasana suram.

"Pencahayaan ada tarikan tersendiri apabila ia digabungkan dengan elemen penting lain," katanya.

Dia yakin, konsep minimalis, moden dan kontemporari antara paling popular khususnya dalam kalangan generasi muda.

Adaptasi ruang

Asalnya sentuhan dekorasi hanya bermula pada ruang bilik tidur kediaman sendiri 10 tahun lalu.

Bermula detik itu, tekad memacu kecemerlangan diteruskan tanpa menoleh ke belakang.

Hari ini, Faizal bukan lagi nama asing kerana sentiasa sarat dengan pelbagai idea tata hias hebat.

Percaya kepada kemampuan diri, pereka hiasan dalaman terhebat ini menjadikan ruang kediamannya sebagai tempat uji kaji.

Mengambil masa hampir lima bulan untuk kerja pengubahsuaian dan diikuti sebulan kemudian dengan sentuhan dekorasi dalaman untuk ruang kediamannya itu.

Ternyata pelaburannya berbaloi apabila kediamannya itu memenangi satu pertandingan hiasan dalaman.

Tidak hairanlah selepas itu kediamannya menjadi rebutan akhbar dan majalah untuk sesi fotografi dalam usaha berkongsi idea dekorasi dengan pembaca.

Yakin dengan sambutan menggalakkan itu Faizal menyewa sebuah premis kecil bagi mudah untuk pelanggan datang berbincang dan mencurah cetusan idea.

Hasil usaha cekal, kini Faizal boleh berbanga dengan pencapaian bersama syarikatnya, Zaldeco Inspirations.

Kunjungi ruang pameran Zaldeco di 16-1, The Core Sunsuria, Taman Sains Selangor, Kota Damansara, Selangor atau layari blog: zaldeco.blogspot.com atau facebook ZALDECO INSPIRATIONS keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:12 AM