SUDUT visual berbeza antara ruang makan dan ruang tamu.
SUDUT visual berbeza antara ruang makan dan ruang tamu.
CERMIN hiasan pada dinding di ruang makan memberikan visual ruang lebih luas.
CERMIN hiasan pada dinding di ruang makan memberikan visual ruang lebih luas.
CHE Roshayati bersama anak bongsunya, Muhammad Adiem Niqrees.
CHE Roshayati bersama anak bongsunya, Muhammad Adiem Niqrees.
APARTMEN tidak terlalu sarat dengan perhiasan, mudah diubah suai reka letak.
APARTMEN tidak terlalu sarat dengan perhiasan, mudah diubah suai reka letak.
Hartini Mohd Nawi


Tidak keterlaluan untuk penulis katakan dekorasi apartmen ini antara idea unik dan sarat dengan gaya eksklusif.

Jujurnya, kediaman di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor ini memperlihatkan identiti seni tata hias pemiliknya.

Pada dua ruang utama iaitu ruang tamu dan ruang makan, pemiliknya begitu selesa dengan penataan ringkas dan praktikal.

Sekian lama meminati konsep moden dan kontemporari membuatkan Che Roshayati Che Nik, 37 dan suami, Aznan Abdul Aziz, 48, cuba sedaya mungkin menzahirkan penataan berkenaan pada kediaman baru itu.

Lantas pada Mei lalu, segalanya menjadi kenyataan apabila aura moden dan kontemporari yang sinonim dengan tata hias ringkas, tidak terlalu sarat dengan perhiasan dan mudah diubah suai reka letaknya berada di depan mata.

Bimbang sentuhan dekorasi moden dan kontemporari yang diimpikan selama ini tidak menepati keperluan ruang, pasangan berkenaan sepakat melantik pereka hiasan dalaman Lentera Creative Home untuk gambaran terbaik seperti diinginkan.

Nyata ‘pelaburan’ itu tidak sia-sia apabila ruang tamu dan makan menyerlah sepenuhnya dalam suasana segar, selesa serta eksklusif.

Daripada perabot, aksesori hiasan, langsir, dinding, siling hingga kemasan lantai termasuk permaidani semuanya termasuk dalam bajet dekorasi ilham pereka dalaman yang makin popular itu.

“Selepas berbincang dengan pereka hiasan dalaman, semua diambil kira daripada bajet, cita rasa dan keperluan sebenar ruang.

“Kombinasi beberapa warna utama iaitu kelabu, hitam, ungu dan putih untuk kedua-dua ruang ini memberikan impak berbeza.

“Apatah lagi saya begitu menggemari warna yang dekat dengan konsep ini,” kata Che Roshayati.

Gembira dan puas hati dengan hasil sentuhan idea pereka dalaman itu jelas tergambar pada wajah Che Roshayati ketika ditemu bual Selasa lalu.

Ruang dapur yang dari jauh dominan dengan kemasan hitam tidak kurang menariknya.

Berada di ruang tamu atau ruang makan sekali pun, mata sesiapapun tidak terlepas pandang terjemahan dekorasi di ruang itu.

“Bagi mengimbangi konsep moden dan kontemporari dari kedua-dua ruang utama tadi, kami cuba dekorasikan sendiri ruang dapur ini.

“Biar tidak sebesar mana, cukup sekadar menampilkan suasana selesa dan eksklusif. Asalkan masih dalam konsep moden serta kontemporari,” kata Che Roshayati, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Lebih bermakna apabila dekorasi kediamannya itu turut menjadi viral di laman sosial.

Dari sudut pereka hiasan dalaman

Ruang tamu

Kertas dinding bercorak geometri dilengkapkan dengan lukisan bunga tulip menjadi tarikan.

Pilihan tiga warna utama iaitu kelabu, hitam dan ungu selari dengan konsep yang dipilih.

Kemasan perabot elegan dan langsir polos mengimbangi suasana kerana kertas dinding sudah mempunyai corak.

Langsir jenis telus cahaya lebih memberikan suasana privasi sepanjang masa.

Ruang makan

Set kerusi dan meja makan ringkas dan kelihatan eksklusif menambahkan ketepatan konsep moden dan kontemporari.

Kemasan dindingnya juga menggunakan kertas dinding corak ringkas.

Dimensi ruang lebih luas menerusi reka letak cermin hiasan pada dinding.

Hiasan lain

Meja konsul bersebelahan ruang makan dijadikan tempat mempamerkan aksesori hiasan.

Begitu juga dengan meja pelbagai guna berlaci yang diletakkan bersebelahan pintu masuk.

Siling dengan rekaan ringkas pada sudut membuatkan pandangan atas menarik dengan idea pencahayaan menepati keperluan dalam konsep moden dan kontemporari.

- Keterangan lanjut mengenai Lentera Creative Home boleh layari Facebook Amran bin Azahar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 9:10 AM