Orang ramai mendengar ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di klinik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Orang ramai mendengar ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di klinik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Hayati IbrahimMohd Husni Mohd Noor dan Sharifah Dayana Syed Bakri dan Fairul Asmaini Mohd Pilus


Putrajaya: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan satu kenaikan gaji tahunan kepada penjawat awam mulai 1 Julai ini seperti dijanjikan dalam Bajet 2016.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam termasuk lantikan secara kontrak.

Katanya, walaupun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan antara RM7 hingga RM9 bilion, berbanding unjuran hasil negara pada harga minyak AS$48 setong, kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa sahaja yang betul untuk negara dan rakyat.

"Misalnya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan terus dilaksanakan, malah saya juga ingin menegaskan kerajaan akan mengekalkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti sedia ada.

"Selain itu, kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek berimpak tinggi berpasakkan falsafah ekonomi rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Najib berkata, ia tidak akan membabitkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan.

"Semua langkah ini dijangka dapat menjimatkan sehingga RM9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 2:24 PM