Oleh Badrila JamlusSyarifah Dayana Syed BakriSri Ayu Kartika Amri dan Hafiz Ithnin dan Sofyan Rizal

Kuala Lumpur: Langkah untuk mengubah suai semula Bajet 2016 adalah sesuatu yang wajar dilakukan apatah lagi apabila andaian harga minyak dunia yang diguna pakai di dalam Kerangka Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2016 hingga 2018 adalah sekitar AS$48 hingga AS$60 setong.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sasaran defisit fiskal yang dikekalkan menunjukkan kerajaan masih lagi komited terhadap pelan konsolidasi fiskal yang seharusnya akan menjadikan pertumbuhan ekonomi lebih mapan.

Beliau berkata, pihak kerajaan juga boleh memberi fokus kepada program pembangunan negara sekiranya defisit fiskal dapat dikurangkan.

“Selain itu, ia juga dapat mengekalkan penarafan kredit oleh agensi penarafan antarabangsa yang rata-ratanya mempunyai tinjauan yang stabil.

“Oleh itu, kestabilan penarafan akan dapat menyumbang pasaran modal lebih berdaya saing selain memastikan kos modal yang kompetitif,” katanya.

Menerusi pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam turut menyatakan kerajaan komited mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi tahun ini, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

Mengenai kadar hutang negara yang terus berkurang dan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK, Dr Mohd Afzanizam berkata, ini menunjukkan bahawa kerajaan akan sentiasa berdisplin dari sudut perbelanjaan bagi memastikan hutang negara tidak terus naik.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa mempunyai fleksibiliti dasar sekiranya trajektori hutang ini kian menurun terutamanya apabila berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.

“Langkah untuk tidak mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit pula dilihat sebagai komitmen kerajaan bagi memastikan mata wang negara akan sentiasa ditentukan oleh kuasa pasaran.

“Oleh itu, pengumuman semakan bajet ini adalah penting dari sudut jangkaan menguruskan dari pelbagai pihak seperti pelabur, agensi penarafan dan rakyat tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 6:54 AM