Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan pemberian khas RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebanyak 700,000 pesara kerajaan pula akan menerima bayaran khas RM250.

"Kedua-dua bayaran ini yang berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

“Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, yang akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Tambah beliau, pegawai lantikan 'Perkhidmatan Kontrak" yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam juga akan dilantik secara tetap.

Kesemua pelaksanaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion akan berkuat kuasa 1 Julai 2016, katanya.

Berikut adalah sebahagian teks ucapan penuh

“MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT“

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

Tuan Yang Dipertua,

1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A’iamin, Wa bihi Nastai’n.

2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta’ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi, ... juga,... yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.

3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,... Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.

Tuan Yang Dipertua,

4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.

5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-lO dan Rancangan Malaysia Ke-ll, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.

6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya, ... Amin.

7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,... merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-ll. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.

8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An- Nisa' ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaparkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kanannya, negara ini diambang mullis, berada dalam krisis ekonomi, nilal ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.

11. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.

Tuan Yang Dipertua,

12. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.

Tuan Yang Dipertua,

13. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

14. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, 'there is no comparison whatsoever', berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.

15. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari dengan mudah atau dalam sekelip mata. la menuntut daripada menghadapi kelembapan ekonomi global, kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

16. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

17. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

18. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

19. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.

20. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.

21. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.

22. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurnsan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.

Tuan Yang Dipertua,

23. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.

24. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BRIM, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

25. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala,indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.

26. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.

27. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

28. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil, masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing.

29. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya sejak awal tahn ini.

30. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.

31. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

32. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.

33. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.

34. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.

35. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.

36. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bition ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.

37. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. lni adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.

38. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.

Tuan Yang Dipertua,

39. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.

40. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.

41. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.

42. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.

Tuan Yang Dipertua,

43. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST...sekalipun, ...sekalipun... keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.

44. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.

45. lni jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.

Tuan Yang Dipertua,

46. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi,... mendahulukan rakyat dan kepentingan negara.

Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,

47. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

48. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.

49. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap, beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.

50. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:

51. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, E, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

52. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut:

• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;

• Dhal, atau kata orang utara kacang 'parpu', berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;

• Biji sawi;

• Gula merah; dan

• Untuk orang Sarawak,...mee kolok kering

53. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;

54. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.

55. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;

56. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran;

57. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta

58. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Tuan Yang Dipertua,

59. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card.

60. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Tuan Yang Dipertua,

61. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.

62. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

PERUNTUKAN BAJET 2016

63. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

64. Di bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.

65. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

66. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am ialtu sebanyak 1.6 bilion ringgit. dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

67. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

68. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.

69. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan di antara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 6:07 PM
GRADUAN UTMSpace, Patrick Matthias John, 38 (kiri), bersama Nor Jaliah Ahmad, 33, dan Jessia Elnos Jesson, 28, menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2016 di majlis penyampaian Anugerah Dekan UTMSpace 2015 di UTM, Skudai. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
GRADUAN UTMSpace, Patrick Matthias John, 38 (kiri), bersama Nor Jaliah Ahmad, 33, dan Jessia Elnos Jesson, 28, menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2016 di majlis penyampaian Anugerah Dekan UTMSpace 2015 di UTM, Skudai. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim