SITI Asma menegaskan ilmu penyusuan sangat penting terutama kepada ibu baru.
SITI Asma menegaskan ilmu penyusuan sangat penting terutama kepada ibu baru.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Setiap insan bergelar wanita khususnya ibu berkerjaya menuntut banyak pengorbanan dan tugasan yang perlu disiapkan di rumah mahupun pejabat.

Mereka berpotensi besar melalui kesukaran dalam pengurusan anak apatah lagi baru kali pertama bergelar ibu. Peranan wanita dalam sektor pekerjaan kini sangat penting di samping menyumbang kepada pendapatan dalam institusi keluarga.

Pada masa sama, ekonomi negara juga berkembang dengan adanya wanita yang serba boleh ini. Namun, peranan dan kehadiran wanita dalam keluarga terutama perhatian terhadap anak kecil yang baru dilahirkan juga sama pentingnya.

Atas kesedaran inilah, seseorang wanita itu perlu menggali dan menambah ilmu dalam meneruskan kaedah pengurusan penyusuan bayi.

Kaunselor laktasi Siti Asma Moin berkata, ibu berkerjaya harus diberi galakan untuk terus menyusukan bayi mereka.

“Biarpun sudah memulakan tugasan selepas dua atau tiga bulan bercuti kerana cuti bersalin, ibu juga perlu menambah ilmu mengenai penyusuan. Ia banyak membantu wanita terutama ibu baru untuk lebih mudah memahami teknik menyusukan bayi mereka secara eksklusif dengan berjaya.

“Walaupun agak sukar ibu baru mengurus si kecil pada awal kelahirannya, selepas melakukan praktikal pasti aktiviti penyusuan lebih mudah dan menyeronokkan.

“Keikhlasan hati seorang ibu mula timbul dalam melaksanakan hak si kecil sekali gus mewujudkan rasa bahagia dan ceria dalam kehidupan wanita itu sendiri,” katanya.

Ilmu di kelas

Kebiasaannya, kaunselor atau jurulatih menyarankan panduan yang boleh diamalkan oleh setiap ibu di kelas penyusuan.

“Jadual dan latihan dalam penyusuan juga ditunjukkan dengan cara yang betul dan tepat, mengikut saranan daripada sumber sahih.

“Kaedah penyimpanan dan perahan susu ibu yang perlu dihantar ke rumah pengasuh juga salah satu perkara penting yang harus diambil perhatian oleh ibu,” katanya.

Melalui ilmu yang diperoleh ini, ia sedikit sebanyak menggalakkan emosi dan semangat positif kepada wanita untuk terus menyusukan bayi mereka biarpun ketika bekerja.

Ujarnya, cara perahan susu di tempat kerja atau ketika berjauhan dengan bayi atas urusan tugas adalah nadi utama kepada kejayaan penyusuan.

Justeru, kehadiran ibu di dalam kelas penyusuan sangat membantu mereka menghadapi tempoh sukar dengan tenang dan berkeyakinan tinggi untuk menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan.

Malah, jika ibu tahu cara tepat dalam pengurusan penyusuan, ia mampu diteruskan hingga si kecil berusia dua tahun.

“Saya pasti sudah tentu ibu akan memilih untuk memenuhi keperluan bayi mereka bagi memberikan manfaat dan khasiat diperlukan anak.

“Tidak ada perkara yang mustahil boleh dilakukan oleh seorang ibu asalkan mempunyai niat, kehendak dan keinginan yang tinggi.

“Pasti ada jalan untuk memudahkan aktiviti penyusuan berkenaan bersama si kecil dalam suasana yang indah dan menyeronokkan,” katanya.

Panduan menghadapi cabaran dalam penyusuan:

- Mempunyai niat dan keinginan yang tinggi menyusukan bayi.

- Sentiasa tersenyum ketika menghadapi cabaran.

- Tarik nafas sedalam-dalamnya sambil mata terpejam dan hembus perlahan-lahan.

- Konsisten dengan jadual pengepamam.

- Melihat gambar bayi ketika mengepam susu.

- Mulakan dengan mengepam susu dua minggu selepas kelahiran bayi untuk simpanan ketika memulakan kerja.

- Sentiasa bersyukur dengan jumlah susu yang dipam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 11:51 AM