ASIAH bersama suami dan anak-anak.
ASIAH bersama suami dan anak-anak.
ASIAH bersama anak-anaknya.
ASIAH bersama anak-anaknya.
Kusyi Hirdan


Apabila berjumpa orangnya, penulis agak terkejut melihat dia masih muda. Baru 30 tahun. Sekiranya mendengar cerita mengenai dirinya daripada orang lain, penulis sangka dia mungkin sudah 40-an.

Melihatnya secara berdepan, dia sekadar ibu muda seperti ibu lain, sibuk dikelilingi anak-anak. Walaupun kami sedang berbicara, anak-anak tidak lepas daripada ekor matanya.

Namun sebenarnya Asiah Maharam, wanita yang membawa status seorang ibu ke mana jua. Asiah menjadi seperti sekarang, wanita yang begitu kuat pendiriannya, tabah dan berani, juga dengan statusnya sebagai ibu.

Ibu tiga anak yang berasal dari Kulai, Johor, ini memperjuangkan apa yang terbaik buat generasi akan datang. Dia mahu semua orang menyusukan anak mereka sendiri. Tiada yang sebaik dan sesempurna susu ibu!

“Beberapa tahun lalu, saya terfikir sesuatu. Mengenai tujuan kita hidup. Saya bertanya pada diri, apakah yang dapat saya beri? Bukan pada diri sendiri, tetapi kepada orang lain. Kemudian saya ditakdirkan bertemu seseorang yang turut menekankan, hidup bukan untuk diri sendiri, tetapi juga untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Mungkin perkara ini tidak terfikirkan oleh orang lain. Atau orang merasakan ia sesuatu yang biasa saja. Ada juga yang merasakan ia pengalaman yang tidak wajar dihebahkan begitu meluas kerana ia sesuatu yang peribadi.

Ada juga yang mempertikaikan susu ibu. Berilah susu formula pun, kesan kepada anak tetap sama. Kalau hendak jadi baik, baiklah. Ada pula yang komen di laman sosialnya, ahli keluarganya minum susu formula, tetapi boleh jadi tahfiz. Asiah ternyata mempunyai ketegasan tersendiri walau apa pun cabaran datang melemahkan.

“Saya ada banyak pengalaman penyusuan bayi daripada diri sendiri dan orang lain. Susu ibu yang terbaik jadi itu yang mahu saya kongsi kepada semua ibu,” katanya.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari UiTM, Shah Alam, sebelum ini dia pernah bekerja selama empat tahun di sebuah syarikat swasta. Kemudian dia berhenti bagi memberi sepenuh perhatian dalam bidang ini.

“Ia mungkin juga bermula ketika saya menjual kelengkapan menyusu. Setiap kali saya perlu memberi penerangan mengenai cara penggunaan peralatan, saya kena berkongsi cerita dan ilmu. Ramai kalangan ibu yang gagal menyusukan anak kerana kurangnya ilmu penyusuan. Dari situ saya rasa mahu lebih ramai yang tahu dan menyusukan bayi mereka sendiri,” katanya.

Perlunya ilmu penyusuan

Bagi menambah ilmu, selain perkongsian daripada ibu yang lain, dia turut menghadiri kursus berkenaan yang berkaitan penyusuan untuk memantapkan ilmu.

Perjalanan awal Asiah ialah memenuhi tugasannya pergi dari rumah ke rumah. Dia melatih golongan ibu cara penyusuan yang betul dan meningkatkan pengeluaran susu. Begitu juga cara memastikan anak dapat disusukan dengan sempurna, bantuan alatan yang ada, cara penyimpanan, penyucian susu dan banyak lagi.

“Pada Januari lalu, saya ambil keputusan untuk membuka Asiah Maharam Breastfeeding Center yang beroperasi di Puchong, Selangor. Pengunjung boleh datang untuk mendapatkan rundingan. Sambutan memang menggalakkan. Saya dapati bukan wanita yang pertama kali menjadi ibu saja yang tidak tahu cara penyusuan bayi, tetapi ada yang sudah mempunyai beberapa anak juga mengalami masalah sama.

“Contohnya, seorang wanita ini tidak menyusukan sendiri tiga anaknya kerana tidak tahu cara atau disangka dia menghadapi masalah. Anak keempat baru dia tahu dan berjaya menyusukan selepas diberi penerangan dan latihan,” katanya.

Wajah Asiah ternyata puas apabila ibu dapat menyusukan bayi mereka dengan berjaya. Selain aktif memberi penerangan di laman sosial secara bertulis, dia juga sering berkongsi penerangan menerusi video.

Mengapa Asiah begitu bersemangat tinggi mahu menggalakkan ibu me­nyusu sendiri anak-anak mereka walaupun jenuh dihentam dengan teruk?

“Tentu saja kerana itu saranan agama yang ada disebut di dalam al-Quran dan tiada susu terbaik melainkan susu ibu. Malah kini, tiada masalah untuk ibu bekerja terus memberi susu sendiri kerana begitu banyak cara boleh membantu.

Penting supaya kita tahu caranya. Saya pun hairan, kenapa ramai yang berasakan ia isu sensitif apabila saya mahu semua ibu berusaha menyusukan bayi sendiri?,” katanya.

Kata Asiah, ibu yang tidak dapat menyusu sendiri bayi mereka selalunya kerana masalah kesihatan yang serius atau pun perlu memakan ubat. Selain itu, sekiranya kesihatan serba sempurna, semuanya boleh menyusukan bayi kerana ia fitrah yang sudah ditetapkan Allah.

Masalah yang sering kita dengar ibu berpaling kepada susu formula kerana beberapa sebab antaranya, susu tidak ada atau tidak cukup, bekerja, bos marah kerana kena kerap mengepam, sakit dan pelbagai lagi.

“Sebab itu saya buat latihan. Untuk yang bekerja, ada caranya. Bagaimana mengatasi masalah berbangkit supaya kedua-dua pihak, ibu dan pihak majikan tidak menghadapi masalah. Kena pandai mengatasinya sekiranya kita sudah bertekad mahu memberi anak susu kita sendiri.

“Jangan cepat mengalah atau hilang semangat. Ibu boleh terus bekerja macam biasa. Mengenai rungutan ibu yang susu mereka tidak ada atau tidak cukup, ini juga salah faham sebenarnya.

“Kita dulu menyangka, bayi menangis kerana dia lapar atau tak cukup makan. Walaupun sudah beri susu, dia menangis lagi. Sebenarnya tanggapan itu salah. Sekiranya sudah diberi susu, bayi akan mulai lapar selepas dua atau tiga jam selepasnya. Dia menangis kerana sebab lain. Dia mahu perhatian atau mahu dibelai. Kalau fikir secara logik, perut bayi sangat kecil jadi apa yang kita sudah beri itu mencukupi. Jadi, ibu jangan risau susu tak cukup,” katanya.

Belajar merangsang penghasilan susu

Isu istilah susu tidak boleh keluar memang sering menjadi masalah utama walau sebenarnya susu itu sentiasa ada pada wanita selepas bersalin.

Mereka perlu belajar cara merangsang penghasilan susu dan tahu waktu menggunakan teknik mengurut.

“Bayangkan, melalui susu ibu, kita dapat membantu anak kita. Ada seorang ibu, doktor memberitahu bayinya kurang garam potasium. Doktor beri ubat untuk membantu, baik sekejap kemudian jadi semula. Saya nasihatkan si ibu makan pisang dan kurma. Alhamdulillah, anaknya bertambah sihat.

“Begitu juga sekiranya anak kurang zat, ibu juga perlu tahu apa yang dia harus makan bagi membantu si bayi. Zat terbabit akan disalurkan dalam susu ibu dan terus diperoleh si anak. Begitu hebatnya susu ibu dan pertalian antara ibu dan anak melalui susu ibu,” katanya.

Sebagai jurulatih penyusuan, Asiah membantu ibu mengatur strategi bijak dalam penyusuan bagi mengatasi masalah dan terus kekal menyusukan bayi.

Dia sendiri menyusukan ketiga-tiga anaknya. Seorang daripada mereka disusukan selama dua tahun tanpa makanan lain. Seorang lagi mengikut jejak sama selepas Asiah melihat tumbesaran anaknya normal, malah tahap kesihatan jauh lebih baik. Begitu juga dengan sikap anaknya nampak lebih prihatin terhadap ibunya.

“Susu ibu sungguh lengkap dan melalui pengalaman sendiri saya lihat anak saya sihat walaupun tiada makanan lain yang diberikan kepada mereka sehingga usia dua tahun. Saya melihat sendiri betapa hebatnya susu ibu ini. Anak-anak saya, Alhamdulilah, sekiranya mereka demam tak lama, sehari dua saja. Batuk pun begitu, sekejap saja sudah sembuh,” katanya.

Namun Asiah tidak menolak saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperkenalkan makanan pelengkap seawal usia enam bulan.

“Terpulang kepada ibu untuk membuat pilihan terbaik kepada anak mereka. Masing-masing lebih tahu apa yang terbaik buat diri dan keluarga,” katanya.

Walaupun mendapat tauliah mengenai penyusuan daripada kursus yang dihadirinya, pengalaman adalah ilmu yang terbaik.

“Saya gabungkan kedua-duanya. Ilmu teori dan pengalaman. Ramai yang kata, mahu menyusukan anak mereka sendiri, tetapi adakah keinginan cukup kuat? Untuk menjayakannnya, semangat juang perlu tinggi,” katanya.

Seluruh Malaysia sudah Asiah jelajahi kecuali Perlis, bagi mengadakan seminar mengenai penyusuan ibu.

“Setiap kali seminar, purata yang hadir sekitar 30 orang. Digalakkan suami peserta turut hadir supaya dia tahu peranannya dan memahami apa yang isteri perlu lakukan bagi menjayakan penyusuan. Saya namakan seminar itu dengan nama Susu Meriah Tanpa Suplemen kerana mahu memberi kesedaran kepada ibu yang tak mampu beli suplemen atau yang sudah mengamalkan suplemen, tapi tak nampak kesannya bahawa mereka sebenarnya tidak perlu bergantung kepada suplemen jika sudah berniat untuk banyakkan susu.

“Di setiap seminar saya hanya berkongsi ilmu cara meningkatkan susu dan mahu peserta mengenali saya serta pengalaman saya sendiri menyusukan anak-anak. Hanya perlu tahu cara susun jadual pam, jadual makan, cara makan dan menu harian yang dapat meningkatkan susu,” katanya.

Asiah juga menulis buku dan Ebooknya sendiri yang boleh dimiliki semua ibu yang mahu mengetahui teknik meningkatkan susu tanpa perlu mengamalkan suplemen.

Wanita ini sebenarnya jenuh ditohmah kerana apa yang dia perjuangkan. Dia dikata sebagai terlampau obses mengenai penyusuan. Begitu banyak cabaran yang perlu dilalui, tanpa kekuatan semangat pasti sudah lama dia tumpas.

“Penyokong kuat saya hanyalah Allah. Apa saja yang saya lakukan saya serah dulu pada-Nya. Jika benar permudahkanlah, jika salah hentikanlah. Itu doa saya sepanjang masa. Niat saya hanya ingin menzahirkan kekuasaan Allah yang Maha Besar. Alhamdulillah setakat ini Allah permudahkan apa yang saya lakukan. Keluarga menghormati apa saja keputusan yang saya buat. Mereka tidak pernah menghalang selagi ia tidak memudaratkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 11:53 AM