Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Apabila berbicara mengenai penyusuan dan kerjaya, ia sesuatu yang sangat subjektif untuk difahami. Namun, untuk lebih memahami maksud terbabit, marilah kita sama-sama menjadikan ia berfungsi dengan cara yang sempurna.

Sempena minggu penyusuan susu ibu sedunia bermula 1 hingga 7 Ogos ini, kaunselor laktasi Siti Asma Moin memberikan panduan menarik untuk wanita yang masih menyusukan anak terutama mereka yang bekerja.

“Jika dikaitkan dengan penyusuan dan kerjaya, sudah tentu pelbagai persoalan bermain di minda kita. Adakah kita mampu melaksanakannya?

“Apakah cara terbaik untuk melaksanakannya dan bagaimana pula dengan keadaan anak nanti? Saya percaya sudah pasti 1001 persoalan bermain di minda ibu yang sedang menyusukan bayi.

“Pelbagai perasaan dirasai. Emosi juga penuh dengan gelombang. Namun, naluri seorang ibu tetap kuat untuk memberikan yang terbaik tanpa mengira suri rumah mahupun yang berkerjaya,” katanya.

Susu ibu ternyata pilihan terbaik buat permata kecil mereka. Bersesuaian dengan tema ‘Breastfeeding & Work’, ia satu kesedaran dalam kalangan masyarakat secara umum mengenai kepentingan penyusuan susu ibu untuk membekalkan kesihatan kepada tubuh dalam kehidupan bayi mereka.

Pada masa sama, penyusuan susu ibu ini juga membuatkan kehidupan bayi lebih bermakna kerana memperoleh sesuatu yang fitrah dalam asas kehidupan.

“Kelebihan menjadi seorang ibu berkerjaya satu bonus besar buat wanita. Ini kerana, ia mampu melatih diri mereka untuk lebih kreatif dan bijak membuat keputusan terbaik dalam setiap situasi yang dihadapi agar dapat melaksanakan amanah cinta yang dianugerahkan dalam hidupnya.

“Hebatnya bergelar wanita. Tidak pernah kenal erti jemu dan penat. Mereka tetap jujur dalam melaksanakan setiap amanah yang diberikan, malah melebihkan permata hati berbanding dirinya. Itulah pengorbanan tulus seorang wanita bergelar ibu,” katanya.

Ujarnya, masyarakat hari ini mula sedar mengenai kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi serta menganggap ia langkah pertama kehidupan yang terbaik untuk si kecil.

Pelbagai program dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran serta memberi maklumat awal berkaitan ilmu penyusuan susu ibu misalnya ketika sambutan minggu penyusuan susu ibu sedunia yang disambut sekarang.

Banyak aktiviti dilaksanakan bagi berkongsi rasa dan tanda penghargaan buat wanita yang menyusui anak mereka. Setiap daerah mahupun negeri akan melaksanakan program menarik mengikut ketetapan jadual yang diselaraskan.

Ikhlasnya ibu, tanpa minta dibalas. Hatinya sentiasa cekal dan tabah dalam mengharungi detik sukar semasa mengandung, melahirkan, menyusukan dan membimbing anak untuk memastikan masing-masing memperoleh kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.

Siti Asma menambah, proses penyusuan setiap ibu berbeza mengikut kerjaya dan posisi jawatan dalam sesebuah organisasi.

Menyusui anak dari awal kelahiran sehingga usia dua tahun, melengkapkan prebiotik semula jadi dalam tubuh untuk kehidupannya dalam tempoh 40 hingga 60 tahun.

“Bersyukurlah dianugerahkan menjadi seorang ibu serta menyusui anak walaupun berkerjaya. Bertuahnya kita semua berbanding mereka yang tidak merasai nikmat berkenaan.

“Sentiasa berdoa supaya dipermudahkan segala urusan penyusuan dan kehidupan serta pasrah sebagai sebagai hamba. Insya-Allah, segala perkara yang terbaik buat kita semua. Namun, kita harus tabah ketika menyusukan si kecil dan perlu dipenuhi dengan senyuman bahagia,” nasihatnya.

Setiap wanita perlu bijak mengatur langkah, menjadikan panduan daripada kejayaan penyusuan ibu lain dan melakukannya secara praktikal. Pasti ia akan membuahkan hasil yang menakjubkan.

Kesedaran penyusuan bagi wanita berkerjaya.

- Carilah ilmu penyusuan sebaik mungkin ketika hamil.

- Lakukan persediaan rapi dan peralatan bantuan penyusuan yang lengkap untuk membuatkan aktiviti penyusuan menjadi lebih mudah.

- Kreatif menjadi seorang ibu.

- Sentiasa bersangka baik dengan setiap cabaran yang dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 12:21 PM