LAKUKAN pilihan tepat supaya tidak berlaku pembaziran.
LAKUKAN pilihan tepat supaya tidak berlaku pembaziran.
Siti Asma Moin

(Kaunselor Laktasi Malaysia)

Penyusuan dan mampu milik. Mungkin aneh apabila mendengar gandingan ini bukan? Saya sendiri terpanggil untuk menceritakan hal ini dengan rasa kesedaran yang tinggi apabila fenomena penyusuan pada hari ini seolah-olah diberatkan sehingga mendatangkan satu bebanan buat golongan ibu.

Ini dapat dirasai terutama dalam kalangan ibu baru dalam meneruskan kelangsu­ngan hidup bersama si kecil, di tambah pula dengan realiti ekonomi pada hari ini.

Benar, dalam penyusuan perlu ada pengorbanan daripada seorang ibu yang tidak berbelah bagi. Namun, saya menyarankan kepada semua ibu agar dapat melalui kehidupan indah ini dengan senyuman.

Ada beberapa panduan yang ingin dikongsikan dalam penyusuan yang jimat dan mampu milik pada saat awal kelahiran bayi. Di dalam kehidupan ini, kita perlu tahu mengenai perkara yang akan dilalui.

Kemudian, fahami perkara berkenaan dan amalkan dengan berbekalkan ilmu yang ada. Melalui cara ini, secara tidak langsung ia akan lebih memudahkan perjalanan yang dilalui di samping menggalakkan hala tuju yang lebih jelas tanpa paksaan dalam memilih keputusan untuk menyusukan anak.

Lalui setiap aktiviti penyusuan bersama si kecil dengan rasa cinta, dan tidak menganggapnya sebagai satu perkara yang membebankan. Tidak perlu gusar kerana penyusuan susu ibu pada hari ini semakin menjadi trend dan galakan yang diterima dalam kalangan ibu juga lebih tinggi.

Disebabkan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak kerana kesedaran kebaikan susu ibu yang tinggi, banyak bilik penyusuan disediakan untuk memudahkan setiap ibu menyusukan anak mereka biarpun ketika membeli-belah.

Berkongsi pengalaman berkaitan penyusuan mampu milik ini, suka saya ingat–kan diri sendiri dan ibu lain agar melakukan pilihan yang tepat supaya tidak berlaku pembaziran.

Keadaan hari ini memerlukan kita berjimat cermat agar kehidupan akan datang memberi pulangan yang lumayan terutama ketika anak membesar.

Masih segar di ingatan apabila saya begitu ghairah membeli peralatan pe­nyusuan pada kali pertama mengambil keputusan untuk menyusukan anak hinggakan ada barangan yang langsung tidak digunakan.

Melalui pengalaman itu, saya belajar mengenai perkara penting yang perlu diambil perhatian dan berkongsi maklumat berguna agar dapat menjadi panduan terutama bagi wanita baru bergelar ibu. Antaranya:

Rancang sebaik mungkin

Dengan situasi yang bakal berlaku dalam penyusuan. Perkara atau peralatan yang menjadi keperluan dan kehendak, perlu disenaraikan sebaik mungkin oleh pasangan suami isteri.

Bincang bersama dan rajin bertanya dengan mereka yang berpengalaman. Namun bukan 100 peratus yang kita boleh terima pakai. Keperluan sebelum, semasa dan selepas penyusuan adalah berbeza antara setiap individu.

Sebelum penyusuan

Sebelum menyusukan bayi, sebaik-baiknya ibu perlu mendapatkan maklumat sebanyak mungkin ketika hamil lagi melalui pembacaan atau menghadiri kelas penyusuan.

Ilmu dapat menambah keyakinan dan secara tidak langsung persediaan barangan penyusuan dapat disiapkan secara bersederhana dan mampu milik.

Ini penting bagi mengelakkan persediaan yang dilakukan dipengaruhi oleh emosi sedangkan kita masih belum bersedia. Secara tidak langsung golongan ibu akan melalui peringkat demi peringkat proses penyusuan tadi dengan rela.

Pada masa sama, setiap ibu juga perlu tahu kondisi puting payu dara dan bertanya kepada individu yang mahir atau berpengalaman untuk membantu me­nyelesaikan masalah yang dihadapi, jika ada.

Semasa penyusuan

Persediaan rapi dengan mendapatkan maklumat dan ilmu berguna mengenai pe­nyusuan akan memudahkan diri sendiri.

Peralatan yang sederhana akan membuatkan kita lebih mahir menggunakannya. Misalnya, dua minggu awal saya sarankan memilih pam payudara manual untuk memastikan kita berasa selesa.

Mahirkan diri dengan sistem perahan menggunakan tangan. Selepas benar-benar selesa dan yakin, barulah pilih untuk menggunakan satu atau dua pam elektrik pada satu masa sama.

Pada saat ini, pam berkenaan adalah ‘sahabat’ yang paling rapat dengan kita kerana akan berada bersama setiap masa dan di mana saja. Selain itu, bekas penyimpanan susu juga sangat penting. Bagi ibu yang kreatif, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyimpan susu yang sudah dipam. Namun pastikan ia selamat dan terbaik buat si manja.

Selepas penyusuan

Kita sangat bertuah dan perlu berbangga jika berjaya melengkapkan proses pe­nyusuan susu ibu untuk anak hingga genap usianya dua tahun sebelum bercerai susu.

Di sini, emosi sangat penting. Pelbagai rasa akan dilalui oleh ibu dan si kecil. Namun yang pasti si kecil juga akan memahaminya. Usah risau dan serahkan semuanya kepada Tuhan kerana jika kita berusaha, misi penyusuan itu boleh dilakukan dengan sebaik mungkin. Peralatan penyusuan yang kita ada, bolehlah dijual kepada kawan atau simpan untuk kegunaan akan datang.

Namun, pastikan ia dibersihkan dan disimpan dengan baik kerana kisah penyusuan ini tidak pernah terhenti sebaliknya akan ‘disambung’ oleh generasi akan datang.

Saya percaya dan yakin setiap daripada kita mempunyai cara tersendiri dalam menjayakan aktiviti penyusuan agar lebih mudah dan dilakukan secara konsisten.

Pelan penyusuan mampu milik:

1. Mencari ilmu melalui bahan bacaan.

2. Menghadiri seminar penyusuan di klinik kerajaan.

3. Bacaan 13 tajuk penyusuan.

4. Melihat kondisi puting (jika tenggelam cari cara yang boleh dilakukan).

5. Mencari pam manual dengan harga sederhana untuk peringkat awal iaitu dalam tempoh dua minggu selepas melahirkan bayi.

6. Selepas mahir menggunakan pam, ia akan membuatkan ibu lebih mudah dan selesa untuk memulakan pekerjaan harian.

7. Jadual perahan mengikut keselesaan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:01 AM