PASUKAN keselamatan meronda daerah Nad Ali di wilayah Helmand, kelmarin.
PASUKAN keselamatan meronda daerah Nad Ali di wilayah Helmand, kelmarin.
Agensi

Kabul: Tentera Afghanistan semalam berusaha mengusir kumpulan Taliban dari Sangin selepas kumpulan berkenaan mendakwa menawan hampir seluruh daerah yang kaya dengan candu itu.

Anggota Taliban memecahkan benteng pertahanan Sangin, daerah di wilayah Helmand Ahad lalu selepas bertempur dengan tentera Afghanistan yang terkepung.

Penduduk yang melarikan diri melaporkan, kumpulan itu membunuh tentera yang mereka tawan sambil mara ke pusat daerah itu.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan menafikan Sangin akan jatuh ke tangan Taliban dengan berkata, pasukan tambahan sudah dihantar untuk membantu puluhan anggota keselamatan.

“Komando dan polis sudah melancarkan operasi di Sangin,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Sedi Sediqqi sambil mendakwa Taliban mengalami kekalahan besar.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid mendakwa pihaknya sudah menawan seluruh daerah itu.

Bercakap menerusi telefon, Abdul Wahab, antara anggota keselamatan Afghanistan yang terperangkap di Sangin berkata: “Kami kelaparan dan kehausan. Untuk keluar bagi mendapatkan makanan bermakna menempah maut.”

Menurutnya, puluhan anggota keselamatan kerajaan terbunuh dan ramai yang cedera parah.

Taliban sudah menguasai 12 daripada 14 daerah di Helmand. Selain Sangin, kumpulan itu juga hampir menguasai Lashkar Gah, ibu negeri wilayah Helmand.

Sementara itu, pesawat tentera Amerika Syarikat melancarkan dua serangan udara di Sangin, menyasarkan Taliban.

Ibu pejabat NATO di Kabul mengesahkan serangan udara itu dilakukan, tetapi enggan mendedahkan butir lanjut.

Kekacauan terbaru di Helmand berlaku selepas Presiden Ashraf Ghani berusaha menyambung semula rundingan damai dengan Taliban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:07 AM