Lashkar Gah (Afghanistan): Dua lelaki berpakaian seragam pasukan keselamatan Afghanistan melepaskan tembakan terhadap tentera NATO di selatan negara itu semalam dan membunuh dua orang sebelum mereka ditembak mati.

Keganasan semakin meningkat di Afghanistan sejak tentera asing secara rasmi menamatkan misi ketenteraan mereka tahun lalu dengan meninggalkan kontinjen kecil, kira-kira 12,000 tentera NATO untuk melatih anggota tempatan bagi menentang kumpulan Taliban.

Tentera Nato yang mengetuai misi Resolute Support itu berkata, kejadian berlaku di wilayah Helmand yang sering melihat tentera kerajaan menjadi sasaran militan.

Dalam satu kenyataannya, pasukan tentera Nato di Kabul berkata: “Dua anggota Resolute Support maut awal pagi tadi selepas dua individu memakai seragam anggota Pertahanan Kebangsaan Afghanistan dan Pasukan Keselamatan melepaskan tembakan terhadap kenderaan mereka.”

Lokasi kejadian dan kerakyatan mangsa tidak dinyatakan.

Kebanyakan tentera asing di Helmand warga Amerika Syarikat.

Pegawai tempatan berkata kejadian berlaku di lokasi yang sebelum ini dikenali sebagai Camp Bastion, pangkalan utama yang diserahkan kepada tentera Afghanistan tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:34 AM