Kandahar: Tentera Afghanistan disahkan bertanggungjawab melepaskan tembakan mortar yang menyasarkan satu majlis perkahwinan hingga menyebabkan 17 wanita dan kanak-kanak terbunuh.

Pegawai berkata, serangan itu tidak disengajakan.

Kejadian berlaku Rabu lalu di Helmand sehari sebelum satu majlis di Kabul yang menyaksikan Presiden Asraf Ghani mengucapkan tahniah kepada tentera dan polis negara itu kerana mengambil alih daripada tentera NATO yang menamatkan misi peperangan mereka di negara itu.

“Anggota tentera terbabit melepaskan tembakan mortar terhadap satu majlis perkahwinan selepas militan di kawasan sama melancarkan serangan terhadap satu pos tentera,” kata Timbalan Gabenor Helmand, Mohammad Jan Rasoulyar.

Mereka yang dituduh melancarkan serangan itu dirujuk kepada mahkamah tentera.

Empat tentera, termasuk seorang komander ditahan dan dibawa ke Lashkar Gah, ibu negeri wilayah Helmand.

Pegawai berkata, perwakilan yang dihantar ke daerah Sangin, tempat kejadian berlaku, dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya dua serangan dilancarkan dari pos tentera berbeza.

Ada saksi mendakwa serangan dilancarkan selepas tetamu majlis berkenaan melepaskan tembakan ke udara ketika pengantin perempuan tiba di rumah pengantin lelaki.

Sebuah bilik tempat tetamu wanita berkumpul terkena bedilan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:03 AM