Pemandu bas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas direman hari bermula hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Pemandu bas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas direman hari bermula hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Pemandu bas Kolej Vokasional Batu Pahat yang terbabit dalam kemalangan dengan 11 buah kenderaan di Jalan Tan Swee How, Jalan Kluang semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 51 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Suhaila Shafi'uddin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, pemandu lori terbabit tiba di mahkamah pada 8.30 pagi diiringi polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya dikeluarkan.

Dia yang memakai baju-T kelabu kelihatan tenang sebaik dibawa keluar dari mahkamah pada 9.40 pagi.

Dalam kemalangan pada 10.20 pagi itu, bas yang dipandu suspek dan membawa lapan pelajar kolej terbabit merempuh 11 buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas milik kolej terbabit berusia 26 tahun mengalami masalah brek sebelum meluncur dan merempuh kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Akibatnya, berapa kenderaan termasuk kereta mewah mengalami kerosakan teruk selain dua pemandu cedera selepas tersepit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek ditahan pada semalam sejurus selepas kemalangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, penahanan suspek itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan berlaku.

"Selain bas dipandu suspek, 11 kenderaan terbabit dalam kemalangan itu antaranya dua buah lori dan sembilan kenderaan lain termasuk kereta.

"Maklumat awal diterima mendapati bas dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek.

"Orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 10:54 AM