Alias Abd Rani


Batu Pahat: Bunyi seakan-akan ribut disusuli dentuman kuat antara pengalaman ngeri dilalui seorang pemandu lori ketika turut menjadi mangsa bas merempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang, hari ini.

Kejadian 10.20 pagi itu dipercayai berpunca daripada bas milik Kolej Vokasional Batu Pahat mengalami masalah brek, sebelum merempuh kenderaan sedang menunggu lampu isyarat.

Kemalangan itu juga menyebabkan sebahagian besar kenderaan termasuk kereta mewah mengalami kerosakan teruk.

Menceritakan kejadian itu, mangsa Suherman Saim, 40, berkata, sebelum kejadian, dia ketika itu memandu lori membawa papan tanda ke tempat kerjanya di Jalan Parit Raja.

Jelasnya, keadaan tenang dan dia berada di lorong kiri bersama beberapa kenderaan lain memandangkan lampu isyarat masih merah.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi sesuatu. Ingatkan ribut ke apa... saya pandang melalui cermin belakang dan lihat bas. Kemudiannya, dentuman kuat kedengaran dan beberapa kenderaan kelihatan seperti 'rojak' selepas dirempuhnya.

ANTARA 11 kenderaan yang dirempuh. FOTO Alias Abd Rani
ANTARA 11 kenderaan yang dirempuh. FOTO Alias Abd Rani

"Ketika itu, saya sempat elak ke tepi jalan namun belakang lori pula dirempuh kenderaan lain yang turut terbabit dalam kemalangan itu.

"Pada masa sama, saya diberitahu ada mangsa tersepit dalam kereta Toyota Vios namun berjaya diselamatkan atas bantuan orang awam," katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya lagi, walaupun lori dipandunya tidak seteruk kenderaan lain, namun dia masih merasai gegaran bagaimana rempuhan itu berlaku.

Dalam pada itu, pemandu bas yang enggan dikenali berkata, dia sudah habis menekan brek bas sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Tapi malangnya, disebabkan brek bas mengalami kerosakan, kenderaan dipandu lelaki berusia 50-an itu meluncur dan merempuh beberapa buah kenderaan lain.

"Bas ini dah berusia 26 tahun, ada kalanya dihantar untuk selenggara. Sebelum ini, bas ini kerap alami kerosakan walaupun diselenggara," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang Jalan Kluang dari kedua-dua arah. Pada masa sama, kenderaan menghala ke bandar dari Jalan Bintang dan kawasan berhampiran dilencong ke Jalan Tan Swee Hoe.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu bas, dua buah lori dan sembilan kereta.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah bas dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek.

"Bas itu melanggar 11 buah kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat namun, kemalangan itu hanya melibatkan kerosakan semua kenderaan dan kecederaan ringan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:33 PM